Sunday, June 23, 2013

SITI JARUM (UTUSAN M'SIA): KENAPA SURUH PANGGIL "CHIEF"


Kenapa suruh panggil "Chief"?

Jangan panggil Datuk Seri. Jangan panggil Yang Berhormat. Jangan panggil YB. Kena panggil "Chief". Begitulah aduan yang Siti terima daripada beberapa pegawai kanan dan kakitangan sebuah kementerian mengenai arahan pelik yang mereka terima.

Pada mulanya Siti anggap mereka ini terlalu minat filem atau drama gangster Melayu yang membahasakan ketua mereka sebagai Chief, bukan "Tuan" yang sesuai dengan laras bahasa Melayu. Atau adakah ketua mereka ini kempunan nak jadi mafia Melayu masa muda muda dulu. Lalu dia yang bertaraf mafia "pencen" ini mahu menzahirkan cita-citanya dengan mengarahkan orang bawah panggil dia Chief.

Kata pihak yang mengadu, mereka tidak ada masalah untuk memanggil apa pun kepada ketua mereka. Tapi pada masa sama mereka turut bertanggungjawab untuk menyekat satu budaya yang mungkin boleh merosakkan teras budaya Melayu seperti dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Mereka tidak mahu panggilan indah seperti "Tuan" ditukar kepada bahasa Inggeris.

Siti tidak terus percaya dengan aduan itu. Siti menyiasat sendiri dan hasilnya sama dengan apa yang diadukan kepada Siti. Memanglah kalau dilihat pada lapisan permukaan bukan masalah besar pun untuk memanggil ketua utama sebagai Chief. Tak akan sakit perut pun siapa yang akur kepada perintah lisan itu.

Tapi disebabkan istilah bahasa Melayu itu sangat kaya maksud serta tahap penggunaan kepada individunya, Siti fikir istilah Chief sama sekali tidak boleh digunakan antara ketua dan orang bawahan. Tambahan pula segala yang berkaitan budaya tetap dirujukkan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan di mana budaya Melayu menjadi terasnya.

Dalam isu ini bahasa Melayu menjadi teras budaya Melayu. Kerana bahasa Melayu itu sangat kaya dengan istilahnya, tak wajarlah menggunakan istilah yang tidak tepat dalam konteks bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, kita mempunyai beberapa istilah untuk merujuk kepada diri orang lain sesuai dengan kedudukannya. Begitu juga untuk menggunakan ganti nama bagi diri kita.

Dalam bahasa Melayu, untuk raja kita merujuknya sebagai Tuanku. Untuk wakil rakyat kita rujuk sebagai Yang Berhormat. Untuk orang biasa yang kedudukannya mulia kita rujuk sebagai Tuan. Untuk orang yang baru kita kenal dirujuk sebagai saudara. Untuk kawan rapat bolehlah kita membahasakan dirinya sebagai hang, kau, mike, demo dan sebagainya.

Siti bukanlah nak bagi kuliah bahasa Melayu. Tapi dalam kes ini ketua tidak sepatutnya mengarahkan orang bawahan panggil Chief. Kalau segan dipanggil Tuan, diam saja dan orang pun tahu panggilan apa yang sesuai. Cuma istilah Chief saja yang tak sesuai.

Bayangkan kalau tok penghulu, tok imam atau wakil rakyat kita panggil Chief? Terkejut beruk jadinya. Memanglah Chief itu bermaksud ketua tapi dalam konteks budaya Melayu kita ada istilah yang lebih murni kepada orang yang sepatutnya.

Sebenarnya tak salah tapi tak kena. Antara salah dan tak kena ada bezanya. Kalau salah, kita buat juga itu melanggar undang-undang. Tapi kalau tak kena, kita buat juga, itu orang kata tak reti bahasa. Bagi orang Melayu lebih baik dikatakan bersalah daripada kata "tak reti bahasa."

SITI JARUM: Di pejabat orang panggil Kak Cik sebab kecil, molek dan comel.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130623/re_12/Kenapa-suruh-panggil-%22Chief%22?#ixzz2WY4znq47 

Nota: Setahu Jelapang, hanya Nazri Aziz, Menteri yang mahu dikenali sebagai Chief semasa beliau dipertanggungjawabkan menjaga Parlimen.

No comments:

Post a Comment