Wednesday, June 5, 2013

NAJIB TAKUT DICABAR?

Terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan di dalam pemilihan Umno kali ini dan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatan masing-masing.

Sekurang-kurangnya cadangan Mohamad Hassan ini dapat dijadikan bahan debat di akar umbi Umno. Untuk makluman Mohamad Hassan, beliau kini mendapat gelaran "kaki bodek yang pertama Najib".
http://www.sinarharian.com.my/politik/umno-n-sembilan-tidak-mahu-pertandingan-jawatan-tertinggi-parti-1.167045

Mungkin ramai telah membaca tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blog beliau. Kata Tun: 

8. Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.

9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.

10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi. http://chedet.cc/?p=998#more-998

Cadangan Mohamad Hassan disokong oleh beberapa pemimpin Umno yang kini diberi kedudukan oleh Najib samada sebagai Menteri Kabinet atau pun sebagai Menteri Besar.

Tidak salah kita katakan bahawa mereka-mereka ini lebih mementingkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan parti.

Umno menang kerana sokongan akar umbi dan seperti mana kata Tun Dr Mahathir, Umno menang besar, seperti yang diwar-warkan oleh Kem Najib, kerana sebahagian orang Melayu tidak mahu Pakatan Rakyat terutamanya DAP menubuhkan kerajaan menggantikan Barisan Nasional.

Kemenangan besar Umno bukan kerana Umno kuat ataupun rakyat kagum dengan Najib.

4 tahun Najib menjadi Perdana Menteri. Selama 4 tahun pelbagai program dan dasar dibuat oleh Najib dan keputusannya, Najib hanya memenangi 133 kerusi, yang terburuk di dalam sejarah politik negara.

Pada 2008, Pak Lah menjadi Perdana Menteri pertama yang menyebabkan BN hilang dua pertiga majoriti kerana hanya memenangi 140 kerusi Parlimen. Tetapi rekod Pak Lah jauh lebih baik dari Najib kerana pada PRU-11 pada 2004, BN di bawah kepimpinan Pak Lah memenangi 198 kerusi Parlimen (undi popular 63.9%).
Apa rekod Najib hari ini? Macam mana pun Kem Najib mahu memutar (spin) keputusan PRU-13, sejarah pada hari ini akan mencatat Najib sebagai Perdana Menteri terburuk BN kerana hanya memenangi 133 kerusi dan orang Melayu menyokong Umno bukan kerana mahukan Najib, tetapi kerana mahu memastikan DAP tidak berkuasa.

Apakah Najib mendapat sokongan bulat akar umbi?
Kalau beliau benar-benar disokong oleh akar umbi, maka Najib tidak seharusnya takut berdepan dengan ahli-ahli Umno dan memberi laluan kepada akar umbi menentukan siapa mereka mahu untuk menerajui Umno. Adakah mereka mahu Najib lagi atau akar umbi mahu pemimpin lain sebagai Presiden mereka?

Tidak usahlah Mohamad Hasan atau Menteri-Menteri dan Menteri Besar membodek Najib dengan mencadangkan tiada pertandingan untuk jawatan tertinggi.

Serahkan keputusan itu kepada akar umbi.

Malahan lebih molek lagi sekiranya Najib tampil ke hadapan dan meminta maaf kepada ahli-ahli parti kerana gagal mendapatkan kemenangan yang besar kepada BN dan lebih molek lagi kalau beliau sanggup menyatakan kesediaan mengundur diri sekiranya ahli-ahli akar umbi merasakan ada pemimpin yang lebih baik yang dapat memimpin Umno untuk menghadapi PRU-14 nanti.

No comments:

Post a Comment