Monday, June 3, 2013

SALAH SIAPA? BUKANKAH SALAH NAJIB!

Rabu ini genap lah sebulan Najib Razak mendapat mandat baru untuk mentadbir negara. Mandat pertama yang diperolehi beliau sejak Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Perdana Menteri pada 2009.

Para penasihat Najib begitu ghairah untuk mencuba meyakinkan bos mereka bahawa prestasi BN tidak lah seburuk mana kerana Umno menang besar dalam PRU-13.

Masing-masing menyalahkan pengundi Cina dan kononnya orang Melayu berdiri teguh di belakang Najib walaupun undi 51 peratus pengundi menyebelahi Pakatan Rakyat dan kebanyakan pengundi-pengundi Melayu di bandar dan separuh bandar menyokong pembangkang.

Kalau boleh, para penasihat ini mahu bulat-bulat menyalahkan pengundi Cina supaya mereka terlepas dari disalahkan atas keputusan yang buruk sebulan yang lalu.

Malangnya, setiap kali kita menonton TV, muka Najib muram walaupun "Umno menang besar". Mengikut mereka yang rapat dengan Najib, katanya Perdana Menteri masih lagi bersedih di atas keputusan yang begitu buruk dicatat oleh beliau berbanding dengan pencapaian Pak Lah.

Sampai bila Najib mahu menangis dalam diam dan membenarkan diri beliau dirundung malang? Bila kah tempoh berkabung beliau akan berakhir?

Seharus, Najib bingkas dan bangun dan mengenalpasti segala kelemahan yang beliau gagal kesani dalam 5 tahun yang lepas.

Lihat sekeliling beliau adakah beliau dikelilingi dengan penasihat yang benar-benar mahu membantu beliau atau mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

SIAPA PENASIHAT NAJIB?

1. Idris Jala dan Pemandu? Adakah Idris Jala meletakkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera sebagai keutamaan beliau dan Pemandu? Atau adakah Pemandu hanya memakai topeng orang Melayu manakala jiwanya tidak. TERAJU yang sepatutnya menjaga kepentingan bumiputera "dibuli" oleh Pemandu dan akhirnya TERAJU tinggal nama. Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

2. Setiausaha Politik Najib? Shafie Abdullah, Fatmi Salleh, Sufian Awang dan Sahlan Ismail adalah Setiausaha-setiausaha politik Najib. Tanggungjawab setiausaha politik ialah membantu bos dan melancarkan kerja Najib. Entah apa di fikiran Najib, keempat-empat mereka diberi kerusi Parlimen untuk bertanding. Najib Presiden Parti. Tidak mungkin beliau begitu lemah untuk menghalang Setiausaha Politik beliau dari menjadi calon. Ramai ketawa bila melihat Najib turun padang ke Pokok Sena, Wangsa Maju, Kota Baru dan Kuantan untuk membantu kakitangan pejabat beliau bertanding. Sepatutnya, keempat-empat mereka berlari ke sana ke sini membantu Najib.  Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

3. War Room? Tak payah Jelapang ulas perkara ini. Rakan Blogger lain sudah ulas bertubi-tubi isu ini. Jamaluddin Jarjis, Alies Noor, Omar Ong, Tengku Adnan, Raof . Ada di antara mereka sebelum pilihanraya cuba menjadi broker. Sesiapa yang berhajat bertanding, mesti melalui mereka kononnya. Di akar umbi, akan ada pencacai yang akan datang dan mendakwa "Alies hantar mereka, JJ hantar mereka. Tengku Adnan hantar mereka." Begitu bermaharaja lela ketua-ketua war room ini. Salah Siapa? Bukankah salah Najib!
http://theunspinners.blogspot.com/2013/06/war-room-nct-dan-umno-hq-nama-mangkok.html

4. Media? Media Cina terang-terangan mahukan Cina mengundi Pakatan Rakyat. Akhbar Star dalam diam-diam menyelit mesej supaya Cina memilih pembangkang. Apakah media benar-benar membantu Najib di dalam PRU-14 ini? Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

5. Pegawai Komunikasi? Hari ini terdedahlah cerita bagaimana pegawai-pegawai komunikasi yang kononnya merangka strategi untuk Najib dan BN begitu tinggi selera mereka dalam membuat keuntungan sebanyak mana mungkin melalui pelbagai cara - mencetak manifesto, iklan di dalam media dan media baru. Tanpa pengetahuan Najib, ramai pegawai-pegawai komunikasi kini senyum sampai ke telinga selepas pilihanraya. Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

6. Ibupejabat Umno? Terkejut Jelapang dengan dakwaan ada pegawai ibupejabat memonopoli kontrak cetak poster bernilai RM440 juta. Betapa mudahnya untuk membuat duit ketika ahli-ahli parti di cawangan dan Bahagian memerah keringat menghadapi serangan hebat Pakatan Rakyat. Teringat Jelapang akan satu surat layang yang disebarkan sebelum PRU-13, bagaimana seorang pegawai kanan di ibupejabat Umno di Kuala Lumpur membina sebuah rumah besar di Melaka dan dua kali berulang alik dari Kuala Lumpur ke Melaka dengan helikopter yang disewanya. Begitu stail nya salah seorang Setiausaha Umno di Ibupejabat Umno di Kuala Lumpur. Ketua Penerangan dengan syok sendirinya. Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

7. Rosmah Mansor? Tak payah lah Jelapang ulas apa isu di akar umbi mengenai Rosmah. Cerita Rosmah berada di bibir setiap pengundi tanpa mengira mereka penyokong BN atau pembangkang. Najib lebih tahu betapa besarnya isu Rosmah di kalangan pengundi. Salah Siapa? Bukankah salah Najib!

Sekarang terpulanglah kepada Najib apa yang hendak dilakukan oleh beliau selepas sebulan mendapat mandat yang sangat beliau idamkan - samada mahu terus mengekalkan penasihat-penasihat yang ada.

Najib pilihlah mana yang beliau idamkan atau beliau mahu terus berkabung sehingga pemilihan yang akan datang.

No comments:

Post a Comment