Sunday, February 24, 2013
GANGNAM KUNTA KINTE STYLE
Jelapang terbaca artikel berikut mengenai kehadiran Psy Gangnam Style di Pulau Pinang yang dipaparkan oleh sebuah akhbar online hari ini. Berikut ialah artikel berikut.
PSY persenda gaya hidup orang kaya
Kunta Kinte yakin ramai orang dah tonton dan dengar lagu Gangnam Style oleh penyanyi pop Korea, PSY yang nama sebenarnya Park Jae-sang.
Sejak lagu itu disiarkan dalam laman web YouTube tujuh bulan lalu, PSY dah dapat 1.33 bilion kunjungan. Ini menjadikan PSY penyanyi paling hebat dalam dunia maya.
Baru-baru ini dia datang ke Pulau Pinang untuk hibur hadirin pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina.
“Kunta Kinte tak kata PSY tidak baik. Dunia sudah akui bakat dan persembahan dia. Cuma kalau kita percaya kepada hidup sederhana dan utamakan keluaran tempatan, Kunta Kinte rasa layanan yang dibagi kepada PSY itu terlalu istimewa. Ramai lagi artis dan karyawan tempatan kita yang berusaha bertungkus-lumus, tapi nak hidup pun susah”
Ikut berita yang Kunta Kinte baca dalam surat khabar, PSY dapat bayaran AS$500,000. Kalau ditukar kepada duit Malaysia jadilah kira-kira RM1.55 juta.
Kunta Kinte tak tahulah sama ada perumpamaan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kebuluran tepat bagi mengulas layanan yang dibagi kepada penyanyi pop Korea Selatan itu kalau dibandingkan dengan layanan yang artis tempatan terima.
Boleh jadi tak berapa tepat sebab ada juga artis tempatan yang dapat bayaran lumayan cuma tidaklah sebanyak yang dibayar kepada PSY.
Mungkin lebih tepat kalau Kunta Kinte kata, kera di hutan dibagi makan buah ceri import, anak di rumah dibagi makan pisang abu. Ceri import bukan macam ceri yang tumbuh di belakang rumah kita atau di tepi gerai makan Mamak. Ceri import bermusim dan sangat mahal harganya. Kalau di Malaysia boleh jadi sampai berpuluh ringgit sekilogram.
Bukan Kunta Kinte tidak mahu hadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dihiburkan oleh PSY atau mana-mana artis hebat. Cuma bayaran yang sangat besar itu menarik minat Kunta Kinte. Seolah-olah semua yang diimport itu baik.
Kunta Kinte tak kata PSY tidak baik. Dunia sudah akui bakat dan persembahan dia. Cuma kalau kita percaya kepada hidup sederhana dan utamakan keluaran tempatan, Kunta Kinte rasa layanan yang dibagi kepada PSY itu terlalu istimewa.
Terkial-kial nak dapat box-office
Ramai lagi artis dan karyawan tempatan kita yang berusaha bertungkus-lumus, tapi nak hidup pun susah. Malah filem-filem keluaran tempatan yang umumnya filem Melayu nak dapat kutipan box office yang balik modal pun terkial-kial.
Dengan menyanyi tak sampai sejam, PSY dapat RM1.55 juta. Ada penyanyi tempatan yang menyanyi sampai akhir hayat, hendak kumpul harta sebanyak yang PSY dapat dalam satu jam pun susah.
Malah filem tempatan yang paling berjaya pun, kalau diukur ikut jam tayangan hanya dapat tahi hidung berbanding apa yang PSY dapat dengan satu persembahan di negara kita.
Kunta Kinte dimaklumkan filem tempatan yang paling berjaya ialah KL Gengster. Filem yang ditayangkan pada 2011 itu dilaporkan dapat kutipan pintu sebanyak RM11.74 juta. Tapi purata kutipan pintu filem-filem tempatan antara 2009 dan 2012 hanyalah RM1.99 juta setiap satu.
Tak patut menunjuk-nunjuk kaya
Kunta Kinte tahu ada orang kita yang banyak duit, sama ada kerana mereka daripada keluarga kaya raya atau dapat kontrak besar. Alhamdulillah. Tapi tak berapa eloklah kalau kita menunjuk-nunjuk sangat kekayaan dan kemewahan kita, lebih-lebih lagilah kalau tindakan kita itu seolah-olah tidak sensitif kepada rakyat jelata yang ramai lagi hidup susah.
Ini bukanlah cakap Kunta Kinte sendiri, tapi soal orang kita masih banyak yang miskin terbukti daripada ramainya yang berpusu-pusu mendaftar dan, Alhamdulillah, dapat duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Dalam kita bercakap hendak majukan industri tempatan, termasuklah industri hiburan, Kunta Kinte rasa kita perlulah sensitif sikit supaya tidak dituduh cakap tak serupa bikin.
Macam mana pun, Kunta Kinte sendiri seronok tengok video PSY dalam Youtube. Cucu Kunta Kinte pun suka juga. Dalam video Gangnam Style itu, PSY sebenarnya persenda gaya hidup orang kaya Korea yang tinggal di kawasan mewah Gangnam di Bandaraya Seoul.
Kunta Kinte tak tahulah kalau semua yang tonton video YouTube dan hadiri persembahan secara langsung PSY itu tahu bahawa dia sebenarnya mengejek gaya hidup orang kaya yang lupa daratan.
Tiba-tiba Kunta Kinte teringat kepada pembukaan sebuah sajak kawan baik Kunta Kinte, Datuk Johan Jaaffar berkenaan orang kaya baru Malaysia yang berbunyi: “Tu bulan tu bintang, atas pokok kayu ara. Tu dia sudah datang, orang korporat kampung kita.” Wallahualam http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PSYpersendagayahiduporangkaya/Article/
No comments:
Post a Comment