Wednesday, August 15, 2018

SIAPA MAT SONGEL?

Image result for istana negara dr mahathir menunggu

HISHAMUDDDIN Rais, aktivis politik semalam menulis satu artikel mengenai "MAT SONGEL" yang cuba bermain silap mata selepas Najib Razak dan BN TUMBANG semasa PRU14 9 Mei 2018.

Siapa Mat Songel ini? Najib Razak? Ahmad Zahid Hamidi? Anwar Ibrahim?

Baca kisah Mat Songel di bawah ini:






Merakam Sejarah: Projek memalukan

Hishamuddin Rais |

 Diterbitkan 15 Ogs 2018, 8:00 pagi | Dikemaskini 15 Ogs 2018, 12:00 tengah hari

Khamis 10 Mei 2018, jam 5 petang, untuk kali kedua pucuk pimpinan Pakatan Harapan berada di Istana Negara dengan niat mengangkat sumpah. Selesai angkat sumpah maka akan lahir kerajaan baru - kerajaan Pakatan Harapan.

Pada jam dan di hari yang sama Hishamuddin Rais telah ke Putrajaya untuk berada di rumah kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga menjawat menteri dalam negeri kepada kerajaan penjaga, caretaker goverment.

Saya berjumpa Zahid Hamidi hanya dengan satu niat. Untuk merisik dan memahami apakah tindakan yang akan diambil oleh Najib apabila berhadapan dengan kekalahan.

Apakah Najib akan berundur dan ‘concede’? Atau Najib dengan aparaciknya dan nasihat-nasihat padanya akan melancarkan serangan gelap? Atau akan memunculkah watak yang telah disurahkan kepada saya oleh Mahathir pada petang 6 Mei 2018. Wanita ini mengikut Mahathir ialah ‘orang jahat’ yang diupah.

Semua persoalan ini timbul dalam kepala saya apabila saya berhadapan dengan kawan lama saya Zahid Hamidi. Saya hendak tahu apa yang sedang dirancang.

“Bos ada telefon,” Zahid menerangkan.

“Anwar nak apa?” saya bertanya.

“Keputusan tidak ada majoriti.”

Sekali lagi Zahid mengeluarkan kertas rujukan dari sakunya tentang keputusan PRU14.

“Kami dapat 79 kerusi. PKR dapat 47. PAS dapat 18, AMANAH 11, BERSATU hanya 13. Semua terpulang pada Agong.’”

Ini kali kedua Zahid menimbulkan hal keputusan tanpa majoriti. Saya menjadi hairan. Apa makna cakap Zahid ini? Apakah ada rancangan baru untuk mewujudkan satu perserikatan baru?

Betul dan tepat jika diambil kira kejayaan satu-satu parti. Tidak ada parti yang memiliki majoriti. Tetapi hakikatnya Pakatan Harapan telah menjalin perserikatan dan mendapat 121 kerusi parlimen. Jumlah ini telah melintasi lebih separuh ahli parlimen.

Pada petang Khamis itu - di Istana Negara dan di Putarajaya - dua wilayah yang berbeza tetapi dipayungi oleh satu niat. Pemimpin Pakatan Harapan dan Hishamuddin Rais mahu mempercepatkan penubuhan kerajaan Pakatan Harapan dengan teratur tanpa ganggu-gugat.

Sejarah membuktikan bahawa pada pagi Khamis 10 Mei 2018 telah jelas Pakatan Harapan bersama sekutunya Parti Warisan dari Sabah telah memiliki 121 kerusi Parlimen. United Malays National Organisation dan konco-konconya hanya mendapat 79 kerusi. Parti Islam telah mendapat 18 kerusi.

Pada hari Khamis yang sama jam 11 pagi Najib telah membuat sidang akhbar. Dalam siaran langsung di TV, si Najib telah juga menerangkan tidak ada keputusan majoriti. Jumlah dan angka dari mulut Najib inilah yang dipungut dan disimpan oleh Zahid Hamidi dalam saku seluarnya.

'Lek lok lek lok'

Jelas Pakatan Harapan adalah pilihan rakyat. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia telah memberi keyakinan kepada Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Walaupun sokongan anak semua bangsa telah jelas - sejelas matahari terbit di Jepun, tapi masih ada lagi lek lok lek lok kok kek kok kek dan songel yang ditimbulkan.

Sejarah sedang merakamkan wujudnya mat songel yang cuba menghalang kelahiran kerajaan Pakatan Harapan dengan agenda sailang Mahathir.

Jelas pada malam 9 Mei, agenda sailang Mahathir ini telah mula berjalan. Tanpa suntikan idea ini saya amat yakin istiadat angkat sumpah akan dijalankan. Saya amat yakin tanpa mat songel kerajaan baru yang akan dipimpin oleh Mahathir Mohamad telah wujud pada malam 9 Mei 2018.

Dari mana mat songel ini datang? Siapa mat songel ini? Jujur jujur saya nyatakan, pada tahap ini sejarah masih belum memiliki jawapan yang tuntas.

Apa yang saya rakamkan, apa yang saya tulis ini adalah manifestasi hasil kerja dan tindak tanduk mat songel. Apa yang saya yakin ialah mat songel ini wujud. Dalam bentuk apa - berkumpulan? Satu pasukan? Dua kumpulan? Tiga kumpulan? Atau solo? Hanya sejarah akan membuktikan.

Saya juga tidak mahu dituduh menerbitkan berita tidak benar. Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menulis dan merakamkan detik dan babak sejarah - hari hari akhir kerajaan Barisan Nasional.

Menulis dan merakam fakta dan babak sejarah ini amat penting. Rakaman ini akan menjadi rujukan dan teladan kepada anak cucu-cicit kita nanti.

Adalah menjadi tugas suci kita untuk merakam dan menulis agar anak cucu cicit kita nanti tahu apa itu mat songel. Agar cucuk cicit kita dapat mengenal watak mat songel.

Ini sama seperti rakaman sejarah yang telah dilakukan oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin. Tun Sri Lanang menulis detik-detik dan babak-babak sejarah yang membawa keruntuhan kerajaan Melayu Melaka.

Hingga ke hari ini - 600 tahun kemudian - kita dapat dengan cepat mengenal watak Si Kitul dan watak Keling Mendeliar. Kita kerap menggunakan watak-watak ini sebagai perbandingan untuk rujukan politik dan kehidupan kita hari ini. Terima kasih Tun Sri Lanang. Amin.

Dari Putrajaya saya kembali ke hotel di Petaling Jaya. Awal senja saya difahamkan istiadat angkat sumpah masih tertangguh. Saya difahamkan bahawa setiap pemimpin Pakatan Harapan akan ditemu bual.

Dalam dewan hotel itu, suasana tenang tapi tegang. Semua tertaya-tanya apa yang sedang berlaku. Kini semua menunggu.

Awal tadi saya telah diberi tempoh oleh Mat Sabu untuk menunggu hingga ke jam 10.30 sebelum membuat apa-apa langkah. Tim anak muda Bangsar terus berlegar di sekitar hotel telah mula gelisah tetapi bersedia menunggu arahan.

Gambar dari telefon pintar telah menunjukkan semakin ramai orang berhimpun di hadapan Istana Negara. Di sekeliling hotel di Petaling Jaya, orang berkumpul bertambah ramai. Untuk saya ini berita dan petanda yang amat baik. Orang ramai ini bila-bila masa boleh dihasut untuk bergerak ke istana.

Hampir tak percaya

Lalu saya bertanya kepada Mat Sabu.

Saya bertanya kepada Mat Sabu kerana saya telah pernah membuat dan menyusun banyak program jalan raya dengan Mat Sabu. Kami sama mengatur BERSIH dari kedua hingga yang kelima. Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 di Stadium Merdeka ada kerja seni Mat Sabu. Saya sama membantu Mat Sabu dalam projek Himpunan Kebangkitan Rakyat ini.

Ketika Kempen Jelajah PRU14 diatur, Mat Sabu adalah sosok yang menjemput dan membolehkan saya untuk turut sama berucap di pentas Pakatan Harapan. Saya berucap atas nama BERSIH.

Paling terpaku dalam fikrah saya tentang Mat Sabu ialah ketegasan Mat Sabu. Saya tidak akan lupa dengan jawapan Mat Sabu kepada pegawai polis apabila kami ingin mengadakan demo BERSIH di Dataran Merdeka. Polis berlagak baik dengan memberi kami tiga pilihan tempat berhimpun.

“Pilihan pertama Dataran Merdeka. Pilihan kedua Dataran Merdeka dan pilihan ketiga Dataran Merdeka.”

Jawapan Mat Sabu tuntas tepat dan jelas.

Jawapan sedemikian amat meyakinkan saya untuk berkerjasama ke jalan raya. Sosok ini sekarang menjawat Menteri Pertahanan Malaysia.

“Apa yang berlaku pada petang Khamis itu?”

“Dari jam 5 kami menunggu. Kami menunggu. Awalnya tidak bosan kerana kami dalam istana. Tapi dah sampai dua jam lebih kami masih menunggu. Muka kami makin gelisah,” jelas Mat Sabu.

“Awal-awal lagi saya telah berbisik pada Tun. Tun, kita jangan keluar dari istana ini hingga angkat sumpah.”

Ini strategi Mat Sabu tepat dan jelas. Sama seperti memilih Dataran Merdeka sebagai tempat berdemo. Tepat dan strategik.

“Kemudian Agong temu bual Wan Azizah, Lim Guan Eng, Muhyiddin. Lepas seorang, seorang. Agong tanya saya siapa yang layak jadi perdana menteri. Saya terangkan duduk perkara tentang surat persetujuan mengangkat Dr Mahathir.”

Saya tahu Mat Sabu pernah dua penggal menjadi YB di Nilam Puri dan Kubang Kerian, Kelantan.

Jam telah menghampiri pukul sembilan. Pemimpin Pakatan Harapan makin bosan menunggu. Temu bual selesai tapi lok lek masih berjalan. Projek mat songel sedang berjalan.

Tetiba Dr Siti Hasmah bangun dan menarik tangan Mahathir. Semua memandang. Dr Siti Hasmah sosok yang tidak banyak bercakap. Malah sepanjang tiga bulan saya bersama Kempen Jelajah Pakatan saya tidak pernah berbual dengan Dr Siti Hasmah. Malah tidak mendengar pun suara Dr Siti Hasmah yang akan duduk di barisan hadapan di atas pentas ceramah.

Mahathir bangun.

Lim Guan Eng pantas ke hadapan menahan mereka berdua.

“Tun kita tunggulah. Dah lama kita menunggu. Dah lama kita berjuang.”

(Tun Please waits. We have been waiting for a very long time. We have been struggling for a long time.)

Apa terjadi. Apa jawapan Mahathir kepada Lim Guan Eng. Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment