Monday, February 7, 2011

PROJEK MRT UNTUK SIAPA? MELAYU ATAU BUKAN MELAYU?

Sebuah akhbar Ahad lalu menyiarkan betapa Projek MRT yang bernilai RM26.6 bilion akan menguntungkan sekurang-kurangnya 27 syarikat hartanah besar di negara ini.

Projek MRT ini akan melibatkan pembinaan 35 stesen MRT di sepanjang jajaran 55km dari Sungai Buloh ke Kajang.

Menurut laporan akhbar tersebut, harga hartanah di sepanjang jajaran ini akan melonjak di antara 100 peratus hingga 500 peratus.

Semasa kerajaan mencadangkan pembinaan menara 100 tingkat, Menara Warisan, bukan main hebat ianya ditentang oleh pengkritik yang rata-ratanya bukan Melayu. Pelbagai cara dilakukan untuk menentang pembinaan Menara Warisan ini.

Yang jelas, ianya ditentang kerana Menara Warisan bakal menjadi lambang kejayaan orang-orang Melayu.

Kenapa projek MRT tidak mendapat tentangan sehebat Menara Warisan? Mungkin ianya kerana projek MRT ini akan lebih menguntungkan orang bukan Melayu dari orang Melayu.

Tampak kerajaan serta syarikat-syarikat yang terlibat dengan Projek MRT ini begitu beria-ia benar untuk melaksanakan projek ini secepat mungkin.

Kita tak perlu terburu-buru dalam melaksanakan projek sebesar ini. Memang benar kita perlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisyen tetapi masalah kesesakan lalulintas yang ada sekarang belum sampai ke tahap kita perlu terburu-buru untuk melaksanakan projek MRT ini.

Sehingga hari ini, kita terlampau asyik mengwar-warkan akan manfaat dari projek ini? Siapa yang akan mendapat faedahnya apabila nilai hartanah meningkat 100 peratus dan 500 peratus?

Adakah yang merasa nikmatnya ialah Melayu? Lihat apa yang terjadi kepada Bukit Bintang. Berapa kerat Melayu yang ada di Bukit Bintang hari ini.

Lihat Pulau Pinang. Berapa kerat orang Melayu yang tinggal di Pulau Pinang. DAP mula memerintah Pulau Pinang hanya pada 2008. Tetapi sebelum itu, Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan.

Ketua Menteri BN yang terakhir ialah Koh Tsu Koon. Pemimpin Umno Pulau Pinang tahu apa yang dilakukan oleh Koh Tsu Koon untuk meminggirkan orang Melayu dari Pulau Pinang.

Rumah-rumah yang tinggi harganya di bina di Pulau Pinang, rumah-rumah yang murah harganya di bina di Tasik Gelugor, Nibong Tebal dan sebagainya. Kesannya orang Melayu di Pulau Pinang berpindah di tanah besar kerana tertarik dengan harga rumah yang murah.

Akhirnya, jumlah pengundi Melayu di Pulau Pinang berkurangan. Tanyalah Koh Tsu Koon berapa banyak rumah murah atau flat yang dibina di Pulau Pinang untuk orang Melayu sepanjang pentadbiran beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kini kita seolah-olah mahu mengulangi kesilapan yang sama dalam Projek MRT ini. Kita tidak menentang projek ini tetapi apakah Umno telah memikirkan nasib orang Melayu dari Kajang sampai ke Sungai Buloh?

Apakah kita mahu membina Bukit Bintang dan Pulau Pinang yang baru dari Sungai Buloh sampai ke Kajang?

Apakah kita mahu kawasan-kawasan yang sekarangnya di wakili oleh wakil rakyat Melayu bertukar kepada bukan Melayu selepas siapnya projek MRT ini?

Sekali lagi ingin kita nyatakan, kita tidak menentang Projek MRT ini tetapi fikirkanlah kesan politiknya kepada orang Melayu.

Jangan hanya keuntungan menjadi keutamaan kita dan kepentingan Melayu menjadi perkara picisan.

1 comment:

  1. Komen murahan yang cetek pengetahuan. Memalukan!

    ReplyDelete