Saturday, February 28, 2009

SKETSA PARLIMEN 1 (FEB 16/09): TITAH TUANKU


TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN
MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH

ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KEDUA
MAJLIS PARLIMEN YANG KEDUA BELAS

"Ahli-ahli Yang Berhormat, Beta dukacita walaupun negara kita telah 51 tahun merdeka, namun isu-isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum. Beta ingin menegaskan bahawa Kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan. Hak-hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati. Sehubungan ini, Beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan. Oleh itu, Beta mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan tersebut dan tidak mempersoalkannya."

"Beta juga memandang berat kecenderungan sesetengah pihak yang mudah mempercayai fitnah dan berita-berita palsu yang disebar oleh pihak-pihak tertentu termasuk melalui laman-laman blog sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan rakyat. Sesungguhnya, kita harus belajar dari sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca dari fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat. Sehubungan ini, rakyat hendaklah berhati-hati dan bijak menilai maklumat yang tersebar. Pengamal-pengamal media termasuk penulis-penulis blog hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat."

"Beta maklum bahawa Mamanda Perdana Menteri akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Mamanda Timbalan Perdana Menteri pada bulan hadapan setelah menerajui negara sejak 31 Oktober 2003. Sehubungan ini, Beta merakamkan penghargaan kepada Mamanda Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di atas kepimpinan dan segala sumbangan terutamanya dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari. Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan."

Rujukan: http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-16022009.pdf

*** Memandangkan pelbagai kenyataan kontroversi dibuat di Parlimen, Jelapang ingin menghidupkan kembali Sketsa Parlimen untuk tatapan bersama.

No comments:

Post a Comment