Monday, June 9, 2008

"CUMA SAYA BERHARAP, ANAK-ANAK SAYA CUKUP MAKAN."

UTUSAN MALAYSIA: Pemimpin perlu turun padang tinjau beban rakyat

SAYA bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat swasta. Saya telah berkeluarga, menanggung isteri dan dua anak berusia dua dan empat tahun. Gaji saya RM5,500 sebulan dan setelah ditolak KWSP, tinggal RM4,700 sebulan.
Kini, setelah petrol naik, setiap hari saya perlu membelanjakan RM40 untuk ke tempat kerja, RM6 bayaran parkir, RM6.40 untuk tol serta belanja harian RM20. Keseluruhannya kos sehari bekerja ialah RM72.40. Setiap bulan saya bekerja 22 hari dan kos sebulan ialah RM1,592.80.
Saya juga perlu membayar ansuran rumah RM879, ansuran kereta RM601, insurans RM300, bil air lebih kurang RM90 dan elektrik RM130. Selain itu, saya memperuntukkan RM1,000 untuk belanja rumah. Keseluruhannya, perbelanjaan sebulan keluarga saya ialah RM4,582.80.
Jika ditolak dengan gaji bersih, hanya berbaki RM117.20. Alhamdulillah, saya masih perlu bersyukur sebab kami masih lagi cukup makan sekarang sebab kenaikan harga barang-barang masih belum lagi terasa peritnya.
Bagaimanapun, saya yakin dalam sebulan dua ini, harga barang-barang pasti akan naik dengan mendadak. Cuma saya berharap, harga barang keperluan kanak-kanak seperti susu, makanan asas, lampin pakai buang dan sebagainya janganlah naik tinggi sangat.
Saya tidak kisah kalau saya dan isteri tidak cukup makan tetapi biarlah anak- anak saya cukup makan, sihat dan elok pakainya. Sememangnya lebih kurang 45 peratus daripada belanja rumah (RM1,000) diperuntukkan kepada belanja keperluan anak-anak saya.
Melalui pendapatan saya, orang akan mengkategorikan saya sebagai kelas menengah. Tetapi setelah harga petrol naik yang menyebabkan banyak lagi barang-barang naik, kualiti hidup saya sekeluarga menjadi semakin rendah.
Semakin kurang nilai barang yang dapat dibeli. Kini, saya berasa semakin miskin, mungkin saya berada dalam kategori miskin bandar agaknya.
Sebagai rakyat, saya berasa amat kecewa dengan kerajaan kerana gagal menganalisis situasi dan permasalahan sosioekonomi rakyat.
Para pemimpin janganlah hanya bijak berkata-kata bahawa ‘rakyat kena ubah cara hidup, kena terima hakikat, kena terima itu, kena terima ini tetapi cubalah berada di pihak rakyat’.
Kepada pemimpin, gunakanlah amanah rakyat bagi mengurangkan beban kami, memakmurkan kami, menyayangi kami dan menceriakan hidup kami. Janganlah membawa kami kepada kemunduran, kemiskinan, kacau-bilau, porak-peranda serta keperitan hidup.
Dengan kenaikan harga minyak, tarif elektrik, caj air, harga barang keperluan serta perkhidmatan, saya sebagai bapa dan ketua keluarga, hanya mampu berserah kepada tuhan. Cuma saya berharap, anak- anak saya cukup makan.


ADNAN YUNUS
Selayang, Selangor

No comments:

Post a Comment