Thursday, December 5, 2019
ANWAR IBRAHIM PENGKHIANAT KEPADA PEJUANG PARTI
ANWAR IBRAHIM DI MATA SEORANG RAKAN SEKELAS DI MCKK
Oleh : Kamarul Baharin Abbas
Saya menerima jemputan untuk menghadiri Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat ke-14 yang akan diadakan di kompleks MITC, Melaka hujung minggu ini. Tetapi melihat perkembangan yang berlaku di dalam parti akhir-akhir ini, hati saya telah tawar untuk menghadirinya.
Bagi yang tidak mengetahuinya, sukar untuk memahami tindakan saya. Seperti kata pantun Melayu:
Akar nibung meresap
Akar keranji dalam perahu
Terbakar kampung nampak asap
Terbakar hati siapa yang tahu
Saya adalah rakan se kelas Datuk Seri Anwar Ibrahim di MCKK. Bila Anwar disingkirkan pada tahun 1998, saya sekeluarga menyertai reformasi dan kemudian sama-sama menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Mereka yang terlibat dalam membentuk Parti Keadilan Nasional dan kemudian menjadi Parti Keadilan Rakyat dengan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia tahu bagaimana susah dan peritnya menubuhkan dan membangun parti tersebut.
Sebagai seorang yang pernah diamanahkan jawatan Bendahari Agung Parti Keadilan Nasional, saya tahu begitu ramai yang berkorban dari segi kewangan untuk menjalankan program parti seperti ceramah, seminar, latihan, kempen piliharaya dan lain-lain. Saya juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan.
PRU 11 (2004) sungguh mencabar.
Ramai menjangkakan Keadilan akan berkubur selepas kalah teruk seperti berkuburnya Semangat 46.
Ramai yang lari meninggalkan perjuangan ini termasuklah Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung PKR sekarang yang melafaskan kepada Anwar di Munich bahawa PKR tidak ada masa depan dan beliau menyertai PAS dan menetap di Kelantan
Tetapi, masih ramai yang kekal setia dan mereka meneruskan perjuangan dengan cekal, menghidupkan kembali cabang dan ranting. Mereka merupakan para pejuang yang menggembleng kekuatan rakyat sehingga membolehkan kejayaan dicapai dalam tahun 2008, 2013 dan seterusnya ke Putrajaya dalam tahun 2018.
Setelah sekian lama dicemuh sebagai “the weakest link” dalam gabungan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, PKR muncul sebagai parti terkuat dalam Pakatan Harapan yang berjaya menawan Putrajaya. Ini dicapai kerana Anwariyyun yang mendirikan Parti Keadilan berhempas pulas membesarkannya daripada sebuah parti yang sekadar membicarakan kezalimanan terhadap Anwar Ibrahim kepada sebuah parti mempunyai tapak yang luas di kalangan rakyat dan memperjuangkan dasar-dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat.
Sebaliknya, setelah di Putrajaya PKR sepatutnya berusaha lebih lagi membesarkan tapak perjuangannya dalam isu ekonomi, pendidikan, sosial, keselamatan dan global. Apa yang berlaku PKR asyik membicarakan hanya satu isu, bilakah Tun Mahathir akan berundur dan menyerahkan kuasa kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.
Peralihan kuasa menjadi topik utama PKR walhal kita semua tahu bahawa perkara tersebut termaktub jelas di dalam Perlembagaan, iaitu YDPA melantik seseorang yang dipercayai mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.
Rakyat mahukan seorang perdana menteri yang membawa perpaduan dan kestabilan demi memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi untuk kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Akhir-akhir ini Anwar lebih menampilkan sifat sebagai divisive politician. Yang menjadi mangsanya adalah orang-orang yang setia dalam perjuangan parti .
Seperti kacang lupakan kulit, itulah gelagat Anwar hari ini.
Apa yang dilakukan hanyalah tambah memecah belahkan perpaduan anggota parti khususnya meminggir dan mencantas tokoh-tokoh yang sudah lama berjasa kepada beliau dan juga parti. Apa yang berlaku pada Zakaria Hamid, hanyalah secebis daripada apa yang telah Anwar lakukan kepada ramai pejuang kanan dan rakan karib beliau yang bersama dengan beliau dari awal reformasi. Mereka yang sentiasa berada di barisan berhadapan dengan tembakan gas dan air demi menentang kezaliman.
Sebagai contoh, Dr Muhammad Nur Manuty mantan Presiden ABIM, tokoh dalam gerakan Islam yang akhirnya digantikan dengan seorang pemuda baru. Datuk Idris Jusi, salah satu tokoh gerakan mahasiswa awal 70an, Mantan Ahli Parlimen PKR yang membina tapak PKR di Batu Pahat, ditendang begitu sahaja daripada kerusi Parlimen Batu Pahat.
Siapa tidak kenal dengan Pak Mus, Mantan Senator Dewan Negara dari Pulau Pinang yang berhempas pulas mempertahankan Permatang Pauh dari awal sejak mula Anwar dipenjarakan. Kini, salamnya pun tidak disambut Anwar Ibrahim. Veteran PKR Sarawak, Haji Baharuddin, tokoh lama yang bekerja kuat membangun PKR di Sarawak, yang diherdik dan ditengking kerana mengkritik isu Pemilihan PKR di Julau. Bayangkan, Anwar memilih mempertahankan tauke dan anaknya yang suatu ketika dahulu telahpun meninggalkannya sejak 1998.
Siapa orang-orang kanan Anwar yang bersamanya kini? Azmin, Khalid Jaafar, Mansor Othman, Ibrahim Yaakob, Zuraidah Kamaruddin, dan ramai lagi, semuanya kini berpatah arang dan mengkritik beliau secara terbuka.
Namun, saya memahami tindakan setiap daripada mereka itu.
Telah lama saya katakan pada Azmin, dia harus menyelamatkan negara dari Anwar. Azmin ini terlalu taat dan sabar orangnya. Saya melihat dari dekat bagaimana usaha Anwar untuk menyekat setiap kemaraan Azmin dalam politik. Bahkan, saya telah sedar lama dahulu lagi bahawa Anwar bertekad untuk membunuh karier politik Azmin.
Ketika ramai menceritakan kelemahan Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presiden dan Anwar mendengar ura-ura Azmin akan mencabar Dr Syed Husin, Anwar mengirim Khalid Jaafar untuk memujuk Azmin Ali supaya tidak mencabar kedudukan Timbalan Presiden yang lemah itu. Apabila Dr Syed Husin bersara dan kedudukan Timbalan Presiden kosong, Anwar menyusun gerakan untuk menggagalkan Azmin dengan meletakkan Zaid Ibrahim sebagai pencabar Azmin .
Setelah Azmin menang dalam pemilihan tersebut, Anwar tidak duduk diam. Dalam pemilihan parti 2014, Anwar meletakkan Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor untuk mencabar Azmin yang hanya seorang ADUN biasa. Percaturan Anwar meleset, beliau menyedari dukungan akar umbi kepada Azmin terlalu kuat untuk dikalahkan oleh seorang Menteri Besar. Maka, Anwar mengatur pertandingan 3 penjuru dengan menurunkan Saifuddin Nasution dalam pertandingan yang sama.
Saya kagum dengan ketangkasan politik Azmin. Beliau menumpaskan regu Menteri Besar dan Setiausaha Agung yang didalangi Anwar. Akhirnya Khalid Ibrahim mengkhianati Anwar dan parti. Meskipun begitu, Anwar tidak mahu Azmin menggantikan Khalid Ibrahim yang disingkirkan sebagai Menteri Besar Selangor.
Langkah Kajang hasil percaturan politik Anwar telah memakan dirinya sendiri. Anwar ke penjara dan PKR dilanda krisis dengan Istana Selangor dalam isu pemilihan Menteri Besar. Ketika ini, saya kecewa dengan Azmin. Beliau akur dan patuh dengan tekanan Anwar untuk menandatangani surat sokongan kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar.
Rezeki dan kuasa tetap ditangan tuhan. Mungkin kerana kesabaran Azmin itu, Allah SWT memberi rahmat kepada Azmin.
Anwar tekad tidak akan berputus asa. Beliau yakin, Azmin boleh ditewaskan oleh strategis muda, Rafizi Ramli dengan dukungan dan campur tangan yang jelas daripada beliau. Mungkin Rafizi boleh menewaskan Shahrizat, tetapi tidak Azmin yang sekali lagi berjaya menewaskan calon pilihan Anwar.
Saya tidak mahu masuk campur dengan pemilihan parti 2018, yang paling kotor dalam sejarah PKR. Pemilihan 2018 bagi saya adalah pemilihan yang paling dimanipulasi oleh Anwar termasuk melalui sistem pemilihan secara online yang kononnya paling berkesan dan efektif.
Sebagai pesara politik, saya melihat gaya politik Anwar seperti kata orang Negeri Sembilan, ibarat berniaga buluh kasap, dapat hujung pangkal lesap. Anwar cepat percaya pada orang yang selalu berada dikelilingnya dan membunuh karakter pejuang-pejuang setia dan lama begitu sahaja. Beliau tidak bijak menangani teguran ikhlas yang dianggapnya sebagai cabaran kepada peribadi beliau.
Presiden seharusnya menggabungkan yang lama dengan yang baru untuk mencipta kesatuan yang kuat, perpaduan yang utuh seperti aur dengan tebing. Apa yang berlaku sekarang adalah aur meninggalkan tebing. Maka, akan hanyutlah aur.
No comments:
Post a Comment