Sunday, February 4, 2018

HADI BEBAL JIKA TAK NAMPAK MALAPETAKA SEDANG MENIMPA NEGARA

PORTAL Malaysian Insight menyiarkan pandangan berikut mengenai PAS semalam, 3 Feb 2018.


Hadi, di matamu ada bulan gerhana



STRATEGI PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata presidennya Abdul Hadi Awang ialah bertanding 130 kerusi Parlimen.

Objektifnya untuk menang 40 kerusi saja. Dengan jumlah kemenangan 40 kerusi ini, Hadi akan menjadi “kingmaker” atau mengetuai puak penentu dalam pembentukan kerajaan Malaysia.

Banyak persoalan yang timbul dari strategi dan objektif Hadi ini. Ramai yang ketawa, lagi ramai yang tidak percaya, termasuk ahli PAS juga. Tidak percaya ini sebenarnya strategi parti bulan purnama dan bukannya lamunan seseorang yang sedang bercinta atau sedang berbulan madu bersama ketua Umno, Najib Razak.

Parti bulan purnama yang suatu ketika dulu pernah dikagumi dan menjadi arah tuju parti roket, DAP, juga begitu diminati sesetengah ahli parti PKR, yang perangai mereka persisnya seperti simbol bendera parti itu sendiri, yang seolah-olah senada dan satu irama: “Di matamu ku lihat bulan…”


Itu simboliknya. Tetapi dalam keadaan politik sekarang – politik tanpa kasih sayang selepas pergaduhan cinta tiga segi, PKR, PAS dan DAP, dan berbalik kepada realiti sebenar – kenyataan Hadi ini ada unsur-unsur yang tidak diterima akal, yang mudah disangkal dan juga agak dangkal.

Walaupun pada zahirnya strategi dan objektif Hadi ini boleh diketawakan dan diketepikan dengan senang, tapi demi menghormati ahli-ahli PAS yang banyak berjasa ketika dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu, yang ramai juga adalah kawan rapat serta kenalan, yang mana ramai tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan Umno/BN, dan dengan sebab itu strategi dan objektif ini perlu diberi sedikit ulasan.

Tidak punya wang

PAS tidak mempunyai wang yang banyak untuk bertanding di 130 kerusi di seluruh negara kerana ia akan memerlukan deposit sebanyak RM10,000 untuk setiap kerusi Parlimen dan RM5,000 untuk setiap kerusi DUN.

RM5,000 lagi diperlukan juga untuk setiap kerusi (Parlimen dan DUN) sebagai deposit pembersihan sampah selepas pilihan raya. Jika dihitung jumlah deposit saja, cita-cita Hadi ini memerlukan lebih dari RM5 juta untuk menampung segala perbelanjaan deposit di seluruh negara. Ini belum dihitung belanja untuk persiapan kempen seperti sewa tempat, perbelanjaan poster, belanja kempen dan berbagai lagi.

Sekiranya undi yang didapati kurang dari satu per lapan atau 12.5% kurang dari jumlah undian, maka deposit akan hilang. Dalam PRU, kos kempen dan segala kos perjalanan atau logistik kos juga tinggi yang tidak memenangi kepada parti miskin seperti PAS. Inilah realitinya; kecuali ada pihak yang membayar kos tersebut?

Sejarah PRU sejak 1969 juga banyak mengajar kita untuk berfikir secara lojik. Data berikut akan memberi sedikit gambaran untuk kita membuat perhitungan yang boleh diterima akal dan fikiran yang waras.

Inilah jumlah kerusi yang dimenangi PAS berbanding jumlah kerusi yang ada di Parlimen.

Paling banyak kerusi yang dimenangi PAS ialah 27 kerusi pada 1999, setahun selepas Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan menubuhkan PKR yang bekerjasama dengan PAS ketika itu. Jadi bolehlah dikatakan inilah prestasi paling baik oleh PAS sepanjang sejarahnya dalam pilihan raya.

Jumlah kerusi yang paling banyak ditandingi PAS pula ialah pada PRU13 iaitu 73 kerusi Parlimen dan yang menang, cuma 21. Waktu itu PAS bertanding di bawah gabungan PR dan mendapat banyak sokongan dari PKR dan DAP terutama di pantai. PAS mendapat empat kerusi di Selangor dan dua di Perak, di kawasan yang juga mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

Tetapi daripada jumlah 21 kerusi yang dimenangi PAS pada PRU13, ternyata 10 kerusi bertukar menjadi Amanah atau Pakatan Harapan (PH).

Sebenarnya PAS sekarang cuma mempunyai 11 kerusi Parlimen iaitu, enam di Kelantan, tiga di Terengganu, satu di Perak (Bukit Gantang) dan satu di Pahang (Temerloh), kedua-duanya yang dimenangi dengan begitu tipis.

Satu kerusi di Kedah, Pokok Sena, yang disandang oleh Mahfuz Omar tidak lagi dimiliki PAS setelah beliau keluar parti pada akhir 2017.

Semua kerusi yang pernah dimenangi PAS mempunyai kelebihan pengundi Melayu dan sememangnya penyokong PAS terdiri dari orang Melayu. Ini bererti peluang untuk PAS bertanding dan mendapat undi ialah di kawasan yang ramai pengundi Melayu sahaja.

Sekiranya dihitung jumlah kerusi negeri yang mana PAS dulu pernah menang seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu, kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri tersebut cuma ada 37 kerusi.

Sekarang pun PAS tidak menguasai semua kerusi tersebut, jadi dari mana agaknya pertambahan kerusi yang diimpikan Hadi? Tidak mungkin di Perak atau Selangor. Jauh sekali di Melaka, Negeri Sembilan atau Johor.

Yang bertanding di kawasan tersebut adalah Umno dan PH. Jadi bagaimanakah caranya untuk PAS menang di kerusi yang sekarang menjadi milik Umno atau PH? Tanpa sebarang strategi dan pendekatan yang agak solid, tidak mungkin ia boleh berlaku, tidak begitu meyakinkan dan agak gelap sinaran parti bulan pada kali ini.

Keadaan politik sekarang juga banyak berubah. Setelah peninggalan Nik Aziz, Hadi, yang agak terperangkap di lamunan cinta Najib, sanggup meninggalkan rakan sejati dalam PR. Ramai ahli PAS jadi agak bingung dan kaget dengan percintaan antara dua watak yang agak berbeza ini.

Tiada kepakaran

Perlakuan Hadi ini seolah-olah parti PAS adalah miliknya secara total dan persendirian. Dia bersama beberapa kerat saja pemimpin parti yang sehaluan dengannya, yang menentukan hala tuju PAS.

Rakyat atau ahli-ahli PAS sebenarnya boleh memaafkan kepimpinan PAS yang kurang kepakaran atau kurang pandai dalam bidang tertentu. Ada pemimpin PAS yang sangat ketara kekurangan mereka dalam pentadbiran negeri, ekonomi, pembangunan dan sebagainya dan rakyat dapat melihat dengan jelas ketidakupayaan.

Ini banyak terjadi di Kelantan sejak 1990; di Kedah, selepas PAS menang pada PRU12 (2008) untuk satu penggal, dan di Terengganu selepas PAS menang pada 1999, juga buat satu penggal. Ternyata ahli politik PAS tidak dapat mentadbir negeri ini dengan bijak dan baik.

Keyakinan pengundi bukan hanya terletak pada kemahiran pentadbiran. Tetapi pengundi dan rakyat keseluruhannya tidak boleh memaafkan mereka sekiranya mereka tidak jujur, tidak amanah, tidak boleh dipercayai dan tidak punyai ketelusan atau integriti kerana memungkiri segala janji.

Apalagi ketua-ketua PAS pada suatu masa dulu mendukung gerakan “Bersih”, tetapi sekarang secara terang terangan juga, menyokong kepimpinan negara yang mencuri dan merompak wang dan harta milik awam.

Inilah isu pokok yang mesti difahami oleh pemimpin PAS sebelum terlambat dan sebelum PRU akan datang. Inilah antara sebab-sebab utama kenapa ramai ahli PAS yang keluar parti untuk menubuhkan Amanah dan bekerjasama dalam PH.

Tahu atau tak tahu?

Apakah Hadi dan konco-konconya sedar bahawa projek ECRL yang diberi terus kepada syarikat China dari tanah besar itu, tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi Pantai Timur?

Sememangnya ramai yang berfikiran projek ini cuma menguntungkan syarikat dari China. Ini amat tepat dan tidak memihak kepada kontraktor tempatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di Pantai Timur.

Dengan perbelanjaan lebih RM55 bilion, rakyat akan menanggung segala hutang untuk menyelesaikan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Najib demi membayar hutang 1MDB. Apakah Hadi tidak mengerti tentang hal ini?

Apakah Hadi juga tidak mengerti tentang skandal 1MDB? Apakah Hadi tidak mengerti apa yang berlaku dalam Felda, FGV, KWAP, Bank Negara dan tanah lapangan tentera udara di Sungai Besi? Apakah Hadi begitu bebal dan tidak faham apa yang dilakukan oleh Najib?

Sekiranya beliau begitu bebal dalam hal yang menimpa negara dan segala mala petaka yang telah dan sedang berlaku, maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin dan berangan-angan untuk menang 40 kerusi Parlimen.

Pengundi dan ahli PAS sendiri harus menolak pemimpin yang bebal dan tidak mempunyai kefahaman dalam hal-hal yang melibatkan pentadbiran dan kewangan negara. Inilah logiknya politik.

Tetapi sekiranya Hadi tahu dan faham apa yang telah dan sedang berlaku, dia tahu tentang skandal 1MDB, dia tahu siapa itu Jho Low, tetapi pura-pura buat tidak tahu, tidak mahu mengerti dan tidak mengaku tahu, demi untuk memberi sokongan kepada Najib, maka ini adalah satu kemungkaran yang amat berat.

Maka inti kata dari perlakuan ini ialah dia bukanlah seorang ulama Islam yang jujur, jauh sekali dari bersifat ikhlas, tidak lagi boleh dipercayai dan sememangnya tidak mempunyai integriti yang tinggi.

Dan untuk itu, calon parti bulan yang diletak oleh Hadi, di mana jua, wajib tidak dipangkah pada PRU kali ini, kerana mereka tidak akan dapat memberi apa jua bentuk pencerahan kepada rakyat.

Apakah demi percintaannya dengan Najib, beliau sanggup mengorbankan isu-isu utama rakyat Terengganu dan Kelantan yang ramai menagih makan cuma dari bulan ke bulan?

Daripada segi pendapatan bulanan isi rumah, Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang paling bawah di Malaysia. Ramai rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke Pantai Barat Semenanjung atau ke Singapura untuk mendapatkan pekerjaan dan upah bulanan.

Apakah keperitan dan kesempitan yang dilalui rakyat tidak lagi dapat disuluhi oleh cahaya yang dimiliki Hadi? Atau PAS sekarang berada dalam kegelapan?

Dalam suasana kegelapan ini, ternyata parti bulan ini bukan saja tidak akan tercapai impiannya untuk memenangi 40 kerusi tetapi akan terkapai-kapai untuk terus berpegang pada kerusi yang sedia ada. Untuk renungan semua, kegelapan yang menyelubungi parti bulan ini amat ketara.

Inilah parahnya apabila ketua parti lalai dan masih berbulan madu di dacing biru. – 3 Februari, 2018.

* Rosli Khan ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/35875/





1 comment:

  1. Hadi tak bebal sebab jika join dgn pembangkang jika pembangkang menang maka melayu/islam akan dapat bala, kik3

    ReplyDelete