Monday, December 18, 2017

IMAMS: PECAT NAZRI AZIZ


PORTAL Malaysian Insight menyiarkan satu artikel yang menarik serta membawa beberapa persoalan yang perlu di jawab oleh Nazri Aziz, Menteri Pelancongan, mengenai isu IMAMS.

Kepada Nazri, cukup-cukuplah "bercuti sambil bekerja" di luar negara. Balik Malaysia, jawab soalan.

Dalam Parlimen cakap lain, di luar cakap lain.

Inilah salah seorang Menteri yang harus dipecat oleh Najib selepas PRU14.



Soalan-soalan tidak terjawab tentang IMAMS

Noor Azam Shairi

Diterbitkan pada 18 Dec 2017 7:03AM

BATALNYA IMAMS atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah, sehari selepas ia dikuatkuasakan sebagai wajib, bukanlah bermakna ceritanya habis dan selesai, dan semuanya balik kepada asal.

Ceritanya baru saja bermula, dan ceritanya nampak macam banyak pula.

Ini kerana batalnya IMAMS menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan; soalan-soalan yang ada asas dan wajar.

Ini bukan soalan-soalan yang berbangkit daripada dengar-dengar cakap orang atau hearsay, seperti kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin, atau soalan-soalan yang timbul kerana "manipulasi mereka yang tidak lagi dapat menjual visa".


Ini soalan yang patut ditanya, walaupun belum tentu akan dapat jawapannya.

Pertama, apa proses yang membawa kepada pengenalan sistem pengurusan maklumat pemantauan bersepadu untuk semua agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah?

Bagaimanakah pengendalian sistem IMAMS itu diberikan kepada syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd? Betulkah syarikat itu baru didaftarkan, tidak sampai seminggu sebelum pelaksanaan lesen khas umrah (LKU) pada 3 Oktober lepas?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan yang Kabinet diberitahu tentang projek IMAMS ini dari segi konsepnya tetapi tiada butiran lanjut. Menurut Zahid, jemaah menteri antara lain tidak dimaklumkan tentang syarikat yang akan mengendalikan sistem.

Elok saja kerajaan telus dalam hal ini, kerana kalau IMAMS tidak batal, berapa banyak untung yang syarikat itu akan buat — yang disebut oleh beberapa pihak sebagai untung atas angin syarikat itu akan sapu?

Kerajaan atau swasta?

Kedua, apa status sebenar IMAMS ini? Adakah ia sebuah program di bawah kementerian atau "inisiatif sektor swasta", seperti yang disebut oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Malaysiakini?

Laporan media sebelum ini menyebut IMAMS diperkenalkan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) untuk memperkemas dan menangani masalah semasa dalam industri pengendalian umrah dan ziarah, khususnya isu penipuan pakej ke atas jemaah.

Menurut statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, ada 3,762 kes penipuan jemaah umrah dengan nilai tuntutan berjumlah lebih RM23 juta difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia antara tahun 2012 hingga Oktober 2017.

Statistik Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan dalam tempoh yang sama, pihak polis menerima sebanyak 290 aduan penipuan pakej umrah melibatkan nilai kerugian sebanyak RM11.5 juta.

Soalnya, kalau langkah membanteras penipuan itu diperkenalkan oleh MKSU, bukankah MKSU itu sendiri sebuah insiatif di bawah kementerian?

MKSU dianggotai 12 agensi kerajaan dan 3 persatuan berkaitan pelancongan termasuk Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (Bumitra).

MKSU dipengerusikan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan dianggotai antaranya oleh Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Jadinya, IMAMS ini inisiatif kerajaan melalui MKSU atau cadangan syarikat IMAMS? Mana satu yang betul?

Ketiga, IMAMS itu semasa hendak dilaksanakan berapa cadangan bayarannya?

Menurut menteri, bayaran yang sepatutnya ialah RM40, termasuk insurans. Kata Nazri, IMAMS dibatalkan kerana beliau tidak setuju dengan caj RM90.10 yang diumumkan oleh timbalannya.

Bagaimana Nazri sekarang kata beliau tidak setuju dengan caj RM90.10 itu sedangkan di Dewan Rakyat pada 13 November lepas, itulah juga jumlah yang beliau sebut?

Rakaman video beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS di Dewan Rakyat adalah seperti di bawah, danhansardnya di sini untuk semakan.


Orang merungut tentang IMAMS ini sebenarnya bukanlah sangat kerana pegawai kanan di syarikat pengendali sistem itu bukan beragama Islam. Orang marah kerana ada beban tambahan apabila Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui MKSU mengada-adakan sesuatu yang mereka rasakan tidak perlu.

IMAMS ini mula dikuatkuasakan pada 15 Disember. Hanya dua bulan sebelumnya MKSU melaksanakan lesen khas umrah (LKU) bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar berkualiti dan berkemampuan sahaja yang dibenarkan untuk mengendalikan pakej umrah dan ziarah.

MKSU juga sebelum ini sudah mengeluarkan panduan kepada orang ramai memilih syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah. Antaranya syarikat itu hendaklah berlesen dengan kementerian dan mempunyai perniagaan membawa pelancong ke dalam dan ke luar negara, penjualan tiket serta perkhidmatan umrah (IOTU).

Syarikat berkenaan juga mesti mempunyai sistem pembayaran tunai dan dalam talian yang telah ditetapkan peraturannya, termasuk mengeluarkan resit bagi pembayaran tunai secara langsung dan bukan melalui agen.

Selebihnya, MKSU juga menetapkan harga minimum pakej ekonomi umrah 12 hari 10 malam ialah RM4,900, menjadikan mana-mana tawaran yang lebih rendah daripada itu boleh dianggap sebagai penipuan.

Maka, wajarlah apabila Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) mahu kerajaan memperkukuhkan terlebih dahulu pelaksanaan LKU yang baru saja dikuatkuasakan tidak sampai tiga bulan lalu.

Dengan batalnya IMAMS, sistem yang ada bagi pengendalian jemaah umrah dan ziarah kini balik kepada asal, menggunakan LKU yang dilaksanakan tidak sampai tiga bulan yang lalu.

Tetapi dengan batalnya IMAMS, soalan-soalan yang disebut di atas kini jadi tanda tanya: Apa perlunya IMAMS diperkenalkan? – 18 Disember, 2017.



2 comments:

  1. Cakap mcm keling...... elok berambos bau bau barua dah lama terbau dah....... pru kekal lepas pru no jawatan pada mangkok ni...

    ReplyDelete
  2. Setuju, PECAT kedua-duanya Menteri dan Timbalan Menteri nya dan kalau boleh dengan Pemimpin Kanan Kementerian yang tidak menjalankan tugasan dengan BAIK serta TIDAK LANGSUNG MEMPERTAHANKAN kepentingan rakyat. Kalau mereka dapati Menteri dan Timbalan tidak cukup pandai (kurang cerdik) dalam formulasi apapun idea baru. Tolonglah NASIHAT, BANTAH atau BUAT LAPORAN. janganlah jadi PAK TURUT atau sama-sama jadi MUSANG BERJANGGUT. Ingat yang nak kerjakan UMRAH mungkin terdiri dari kaum keluarga kita juga. Entahlah apa nak jadi dengan banyak Kementerian negara kita ini. Dah sampai masanya KITA TUKAR AJE KERAJAAN SEDIA ADA.

    ReplyDelete