Andainya Tunku masih hidup, dia akan sumpah semua orang, kata Ku Li
Veteran Umno yang rapat dengan Bapa Kemerdekaan itu berkata, Tunku tentu terkejut dengan apa yang berlaku di negara ini sekarang.
"Dia akan sumpah semua orang ekoran apa yang mereka katakan kerana ia bertentangan dengan apa yang diyakininya.
"Apa yang berlaku benar-benar bertentangan dengan apa yang dia usahakan. Dia mahukan keamanan.
"Dia adalah orang cintakan kedamaian dan dia suka orang yang membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang budaya. Itulah Tunku," kata Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini. –
Walaupun perjuangan Tunku sering dicabar Umno sendiri, Razaleigh berkata Tunku dan pengkritiknya adalah dari zaman yang berlainan.
“Kemungkinan mereka dibesarkan dalam keadaan berlainan.
“Bagi sesetengah orang, mereka mempunyai masalah harga diri dan menggunakan ia untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Tunku dikritik oleh ahli Umno sendiri, termasuk penggantinya Tun Abdul Razak, terutama semasa Singapura ditendang keluar pada 1965 dan trajedi 13 Mei 1969.
Beliau dipaksa melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri pada 22 September, 1970 dan kehilangan jawatan Presiden Umno setahun kemudian, ekoran tentangan oleh pemimpin muda, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Razaleigh mengaitkan situasi negara kini dengan pucuk kepimpinan yang lemah.
“Banyak orang memberitahu saya... Ia menyebabkan ketiadaan rasa hormat terhadap pihak berkuasa.
“Ada keputusan kurang popular yang wajar dibuat, kita kena tegas.
“Terdapat kebebasan bercakap tetapi ada hadnya. Kena guna akal.
“Jika orang ramai dibenarkan berputar belit, bebas bercakap apapun, rosaklah negara,” katanya.
Razaleigh mempersoalkan kepimpinan yang gagal mengawal keadaan dan adalah kurang bijak kerana tidak dapat melihat ancaman kepada masyarakat.
“Kenapa orang ramai mempersoalkan kepimpinan? Kerana mereka tidak puas atau tidak selesa dengan keadaan sekarang.
“Saya bangkitkan perkara ini akibat mendengar pelbagai rungutan yang tidak memanfaatkan masyarakat negara ini,” katanya.
Apabila diminta mengulas demonstrasi Pemuda Umno Rabu lalu ekoran kes Ahli Dewan Undangan RSN Rayer dengan kenyataan “Umno celaka”, Razaleigh berkata terdapat pihak yang ekstrem dalam tingkah laku dan pendapat mereka.
Bagaimanapun, ada pula yang mencolek pihak tersebut, menimbulkan sifat ekstremis dalam mana-mana kumpulan.
“Kenapa melibatkan diri membuat kenyataan yang provokatif?
“Saya tidak bersimpati dengan orang yang mengambil tindakan sewenang-wenangnya. Ini adalah negara yang mempunyai perundangan. Tidak boleh ada yang anarkis,” katanya.
Razaleigh juga diminta mengulas kurangnya kualiti wakil rakyat Parlimen dan negeri.
“Mereka dipilih oleh rakyat. Adakah rakyat yang bodoh?” guraunya.
Katanya, mana-mana kepimpinan harus mendidik ahli mereka.
Razaleigh juga ditanya perlukah negara berbalik kepada hala tuju Tunku.
“Kita boleh menggunakan Tunku sebagai teladan. Perlunya tahu hidup bersama.
"Tuhan mencipta Adam dan Eve, kita datang daripada mereka. Kita bukannya datang daripada tuhan Melayu atau nabi India," katanya.
Terdahulu Razaleigh melancarkan buku bertajuk “Enduring truths from statements and words of Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj our beloved Bapa Malaysia” sempena ulang tahun keputeraan Tunku yang ke-111 dan sambutan ulang tahun ke-10 Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang.
Dalam ucaptamanya, Razaleigh berkata buku itu sumber penting bagi generasi muda.
Katanya, Tunku adalah seorang yang unik dan rendah diri walaupun berasal darpiada keluarga diraja dan mempunyai kepercayaan harmoni antara kaum amat penting bagi Malaysia.
Razaleigh berkata kerjasama parti politik Melayu dan Cina membawa kejayaan besar dalam pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952.
Katanya, Tunku percaya sifat nasionalisme boleh dipupuk dengan menampung keinginan kaum Melayu dan Cina.
“Tunku seorang yang berpegang kuat kepada keharmonian kaum. Boleh dilihat apabila beliau mempunyai anak angkat daripada kaum lain.
“Beliau juga cintakan sukan terutamanya bola sepak. Tunku rasa sukan merupakan alat yang boleh membawakan keharmonian rakyat.
“Pastinya kita masih ingat Abdul Ghani Minhat, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Poon Fook Loke, Sri Shanmuganathan, Rabuan Pit, Marina Chin, M Jegathesan dan lain.
“Mereka seringkali mengusik sesama sendiri. Tiada siapa yang ambil kisah, malah selesa bergaul,” katanya. – 30 Mei, 2014
Nota: Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen Umno Gua Musang, Ketua Bahagian Umno Gua Musang, bekas Naib Presiden Umno dan bekas Menteri Kewangan.
Kalau diikutkan Tunku, Pulau Pinang pun dah ditendangnya keluar.
ReplyDelete