SELAMAT Tahun Baru 2014.
Ada yang sugul, ada yang ceria menyambut tahun baru. Ada sedang bergembira menyambut tahun baru di luar negara.
Malam tadi, Jelapang tidaklah seperti warga Kuala Lumpur. Ada yang menyambut tahun baru dengan menonton keindahan KLCC dimandikan pancaran bunga api. Ramai juga, katanya, ke Dataran Merdeka untuk merayakan kedatangan 2014 dengan berdemo.
Malam tadi, Jelapang "menyambut" tahun baru dengan berbual dengan mak cik Mak Tam.
Sebak mendengar kisah kehidupannya.
Di zaman mudanya, Mak Tam akan ke tanah pusaka peninggalan bapanya mengutip nyior (kelapa) bersama anak lelakinya.
Kulit nyior ditetasnya sedikit, dan tali itu digunakan untuk mengikat nyior-nyior lain.
Walaupun berpuluh biji nyior jatuh ke tanah, Mak Tam hanya mampu mengutip 12 biji nyior.
Tiga biji diikat serangkai. Anak lelakinya bawa dua rangkai, dia membawa dua rangkai.
Maka Mak Tam dan anaknya membawa nyoir ini ke pelusuk kampung untuk dijual. Sebiji pada masa itu - hanya 15 dit (15 duit @ 15 sen).
Kata Mak Tam, sampai luka-luka jari dia dan anaknya, menjinjing nyior semata-mata hendak mencari sesuap nasi untuk anak-anak di rumah.
Si suami pula bekerja di kedai runcit. Si anak dengan taatnya akan menaiki bas untuk menghantar "bekai" (bekal - nasi) kepada bapa untuk makan tengahari.
2 kupang (20 sen), kata Mak Tam, terlalu besar buat keluarganya.
Sebak mendengar kesempitan dan ketabahan Mak Tam hanya semata-mata mahu hidup - kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.
Kalau boleh, sekupang dua dimasukkan Mak Tam ke dalam tin susu Dumex yang ditebuk tudungnya, untuk dijadikan tabung.
Itulah kesengsaraan yang dilalui hampir keseluruhan daripada kita.
Tetapi bukan semua antara kita pernah mengharungi cabaran seperti ini. Antaranya keluarga Tun Abdul Razak Hussein serta anak-anaknya termasuk Najib.
Buat Mak Tam, 2 kupang terlalu besar nilainya, mungkin bagi Najib, 2 kupang tiada nilai baginya.
Tidak mungkin Najib tahu erti peritnya mengendung tiga biji nyior di tangan kanan, tiga biji di tangan kiri, menjerit satu kampung, sambil menjual nyior dan pulangannya 15 dit (duit) untuk sebiji nyior.
Najib tidak akan faham dan tidak akan dapat menghayati akan nilai 2 kupang seperti mana Mak Tam menghargai syiling 2 kupang.
Itulah sebabnya, kenaikan harga barang, hanya dilihat dari sudut penarafan agensi penarafan antarabangsa, dari sudut defisit negara dan dari sudut perbendaharaan negara.
Ini disebabkan Najib tak kenal apa itu erti kemiskinan dan apa yang dimaksudkan sebagai kesengsaraan rakyat.
Kita akan hanya faham apa itu kemiskinan dan apa itu kesengsaraan apabila kita sendiri miskin dan kita sendiri sengsara.
Orang Melayu memang hebat bangsanya. Di zaman Malaya, orang Melayu bangun menentang Inggeris.
Malaya pada masa itu ditadbir oleh penasihat-penasihat Inggeris.
Disebabkan keangkuhan Inggeris, orang Melayu menolak penasihat-penasihat Inggeris ini.
Dan antara insiden bersejarah penentangan orang Melayu kepada penasihat-penasihat Inggeris ialah pembunuhan Residen British di Perak, JWW Birch, oleh Dato' Maharaja Lela dan rakan-rakannya termasuk Dato Sagor di Pasir Salak pada tahun 1875.
Pendek cerita, British meninggalkan Malaya dan kita merdeka tanpa di belenggu oleh Inggeris dan penasihat-penasihatnya.
Orang Melayu bertuah kerana dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Melayu yang hebat seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Razak.
Jasa Tun Razak, tiada tolok bandingnya.
DEB dilahirkan. Tun Razak tubuhkan Felda. Kita gubal Dasar Pendidikan kita sendiri.
Pada masa tidak ada orang puteh pun diambil oleh Tun Razak untuk membantu mengubal DEB dan menubuhkan Felda.
Kita tidak pun meminta nasihat "Mat Salleh" membantu membentuk Dasar Pendidikan Negara.
Hari ini, anaknya sendiri, Najib Razak, seolah-olah menidakkan keupayaan Allahyarham Tun Razak, ayahandanya.
Najib meminta Mat Salleh berkulit putih mengubal Blueprint Pendidikan Negara.
Kalau Felda ditubuhkan hasil cetusan idea bangsa berkulit sawo matang, Najib memilih melantik penasihat berkulit putih untuk membantu beliau dalam membuat dasar-dasar negara.
Dan bukan sedikit yang kita bayar - RM7.2 bilion kita bayar kepada bekas penjajah ini yang dalam bahasa hari ini dikenali sebagai konsultan.
Inilah transformasi yang mungkin mahu dibawa oleh Najib - iaitu kembali ke zaman Malaya di mana Residen British menentukan masadepan bangsa.
Tidak mengapalah. Tun Razak dengan caranya. Anaknya pula, dengan caranya tersendiri.
Tahun ini, tahun mencabar buat kita. Tidak mengapa. Kita ikut cara Mak Tam.
Kalau zaman Mak Tam, beliau hidup dengan menjual nyior serata kampung, zaman kita sudah berubah.
Bagi warga kota di Kuala Lumpur, kurangkanlah menggunakan jalan bertol. Kurangkanlah menggunakan elektrik dengan banyak, kalau perlu pasang lilin, pasang lilin.
Tidak perlulah kita minum teh bergula kerana nanti kencing manis menghinggapi diri kita.
Kepada yang berkereta, ikut lah nasihat Shell bagaimana hendak menjimat petrol. Antaranya pandu perlahan, kurangkan penggunaan air cond semasa memandu.
Menyesal sekarang, tidak berguna. Kita sudah terlanjur. Belajarlah dari kesilapan ini. Cukuplah kita memilih golongan bangsawan menjadi Perdana Menteri. Cukuplah kita melantik anak Perdana Menteri menentukan masa depan kita.
Selamat Tahun Baru kepada semua.
Buat Mak Tam, terima kasih kerana sudi berkongsi cerita dan terima kasih juga kerana sudi menghidangkan pulut ikan kering malam-malam buta.
No comments:
Post a Comment