Tuesday, July 2, 2013

ANNUAR MUSA, BEKAS MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR, PENGERUSI MARA YANG BARU?

Selepas melantik salesman kereta, Azeez Rahim, sebagai Pengerusi Tabung Haji, tersebar desas desus bahawa Najib Razak akan melantik Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa sebagai Pengerusi Mara.
 http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Annuar pernah memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan pada 2001 Kementerian tersebut digemparkan dengan skandal PPRT di mana Annuar dikaitkan dengan skandal tersebut.

Kesudahan kepada skandal tersebut cukup menyayatkan hati. Ianya berakhir dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar  Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad didapati bersalah bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan dan dihukum penjara 5 tahun.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Sehingga hari, ramai kakitangan awam bersimpati dengan Abdul Aziz dan ada di antara mereka terutamanya kakitangan Kementerian Luar Bandar tidak dapat memaafkan kerajaan atas episod hitam ini.

Mungkin Najib terlupa akan peristiwa hitam ini. Dengan itu Jelapang ingin menyiarkan dua artikel yang diterbitkan pada 2001 ketika isu tersebut memuncak. Artikel pertama di tulis oleh Tan Sri Abdullah Ahmad, bekas Setiausaha Politik Allahyarham Tun Abdul Razak dan artikel kedua ialah jawapan Annuar dalam menepis tohmahan Tan Sri Abdullah. Artikel ini bertujuan untuk menyegarkan semula ingatan Najib sebelum beliau membuat keputusan melantik Pengerusi Mara yang baru.


Skandal PPRT Kelantan - Contoh klasik kes harapkan pagar, pagar makan padi

Isu Minggu Ini Oleh Abdullah Ahmad (disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 11/11/2001

GOSIP dan sosek-sosek tentang ada sesuatu yang tidak kena dalam Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan dan Terengganu telah lama kedengaran dan menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi, di surau, masjid, di pejabat dan majlis jamuan dan kenduri.

Ia dibincangkan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya umum 1999.

Kita wajib menjalankan amanah untuk membantu golongan papa, iaitu orang yang benar-benar termiskin. Penulis diberitahu, takrif seorang itu papa dan wajib diberi bantuan di bawah PPRT adalah rakyat yang pendapatan mereka kurang daripada RM230 sebulan. Golongan ini masih ramai di Kelantan dan Terengganu.

Projek PPRT yang terbaik dan amat prihatin ini didakwa disalahgunakan oleh mereka yang sudah dianggap berada. PPRT juga telah menjadi mangsa kepada harapkan pagar, pagar makan padi.

Penulis tidak hairan langsung dan tidak terkejut pun apabila membaca laporan muka depan akhbar Star semalam.

Menurut akhbar itu, polis telah menahan seorang pengarah syarikat yang disiasat kerana menyalahgunakan wang projek PPRT sebanyak RM40 juta dalam sebuah syarikat usaha sama antara firma swasta dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tatkala itu menterinya ialah Datuk Annuar Musa. Star telah skop semua akhbar lain, satu kecekapan yang harus diberi tahniah.

Pendedahan akhbar mengenai skandal PPRT yang menjadi rahsia umum di Kelantan terutamanya telah dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar sekarang, Datuk Azmi Khalid pada bulan lepas.

Pengganti Annuar ini adalah seorang yang cekap, berani dan telus. Jarang seorang menteri berani membongkar skandal tetapi penulis diberitahu apabila Azmi selesai membaca laporan siasatan bebas tentang apa yang berlaku kepada projek PPRT, dia menangis kerana jelas baginya ramai orang yang petah berbahasa, berpura-pura nasionalis dan warak tidak segan silu memiskinkan lagi rakyat yang betul-betul papa kedana.

Satu pasukan khas polis dari Bukit Aman telah menangkap pengarah ini di Pulau Pinang semalam. Tindakan itu menunjukkan betapa serius kes ini yang menjadi antara isu terbesar secara sosek mengapa UMNO Kelantan dan terengganu kalah teruk di Kelantan pada pilihan raya umum tahun 1999.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dikatakan telah mengadakan usaha sama pada tahun 1998 dengan seorang peniaga Cina yang merupakan mastermind dan mengikut dakwaan, dia telah menjadikan beberapa orang pegawai dan pemimpin politik menjelma sebagai orang berada.

Mereka ini dijangka ditangkap kerana bersubahat dalam komplot ini. Annuar dan pegawai-pegawai tinggi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, menurut laporan Star, telah ditemui polis. Kenyataan telah diambil daripada mereka.
Polis sedang berusaha untuk membekukan akaun bank pengarah itu yang dikatakan berjumlah berjuta-juta ringgit.

Rakyat Kelantan dan Terengganu serta pengundi di seluruh negara menjunjung tinggi keberanian dan iltizam Azmi agar mereka yang bersalah dihukum tanpa pilih kasih, pilih bulu dan takut.

Ramai orang bercakap sahaja tetapi Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membuat laporan polis apabila Ketua Audit Negara mendedahkan tentang kelemahan (baca istilah itu sebagai penyelewengan) dalam PPRT.
Ada pula yang cuba hendak meringankan kes ini melalui berbagai cara. Apa yang busuk tidak dapat diwangikan dalam secantik bahasa pun.

Apabila manusia tamak haloba, lupa daratan, berkuasa dan percaya pula kepada impian kebesaran diri (delusions of grandeur) iaitu mereka akan terus berkuasa, mereka akan berani melakukan apa sahaja sehingga tidak takut berdosa dan malu di dunia.

Ini termasuk menggunakan bantuan yang diperuntukkan kepada orang miskin bagi memberi kesenangan kepada mereka yang mempunyai rumah dan kereta.
Kes dan skandal ini akan jadi test case kepada keiltizaman kerajaan membasmi kemungkaran dan salah laku yang berlaku di sesetengah jabatan dan agensi kerajaan tanpa takut dan malu.

Salah laku itu telah membuat rakyat membenci kerajaan. Padahal ini sebenarnya perbuatan beberapa kerat manusia sahaja tetapi salah laku mereka ditanggung oleh kepimpinan kerajaan.

Kes ini juga sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.
Kerajaan mesti telus dalam kes ini dan penulis tidak ragu-ragu di atas kesungguhan Putrajaya mahu membersihkan UMNO dan kerajaan daripada mereka yang berperangai seperti musang berbulu ayam.

Masa depan UMNO Kelantan dan Terengganu yang sudahpun gelap itu akan menjadi bertambah gelita kalau ternampak ada kolusi untuk menidakkan apa yang pada persepsi rakyat merupakan satu skandal yang terang lagi nyata


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1111&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz2XLWDGIjD


JAWAPAN ANNUAR MUSA PADA 13/1/2001


Annuar Musa jawab Abdullah Ahmad

Saudara pengarang,
SEJAK isu ini diberi liputan yang meluas oleh akhbar, terutama Utusan Malaysia, saya mengikuti dan memerhati dengan penuh teliti tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan.

Meskipun banyak fakta laporan telah tersasar jauh dari apa yang sebenarnya berlaku, namun kerana saya percaya kes ini akan disiasat lanjut oleh polis, dan kebetulan pula Menteri Pembangunan Luar Bandar sendiri berkali-kali menyebut dan mengaku bahawa akhbar telah membuat laporan tidak tepat, maka (sebelum ini) tidak perlulah saya memberi komen, yang mungkin jika dibuat, memberi gambaran lebih celaru apabila bercanggahnya fakta yang diberi oleh pemimpin kerajaan/parti.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO juga menasihatkan semua pihak agar tidak mengeruhkan suasana dan membuat kenyataan akhbar
.
Yang penting bagi saya ialah unsur penyelewengan itu dikesan sejak saya masih di kementerian dan penyiasatan peringkat pengurusan telah bermula di `zaman' saya lagi di bawah Ketua Setiausaha (KSU) yang baru Datuk Rahmah Kassim (yang mengambil alih daripada Datuk Dr. Abd Aziz Muhamad) yang kini masih KSU di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Malangnya Datuk Rahmah mula bertugas sebagai KSU waktu pilihan raya umum sudah hampir, dan saya tidak berkesempatan menyusul siasatannya. Namun saya pernah berbincang perkara ini dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid, sewaktu saya berkunjung hormat ke pejabatnya di KPLB awal tahun 2000.

Dalam kata lain kita semua sedar masalah ini dan bersama-sama menanganinya kalaupun waktu itu belum dibuat pendedahan. Soal laporan akhbar tidak tepat tidak perlu diperbesarkan. Saya andaikan mereka mungkin tersalah dengar, tersalah tafsir, tersalah tulis atau ada pihak yang tersalah cakap. Itu lumrah dan saya sudah sering berdepan dengan situasi sedemikian.

Saya hanya menunggu untuk bercakap di tempat yang sesuai seperti di MT UMNO dan juga akan memberi keterangan kepada pihak yang membuat penyiasatan untuk memperbetulkan fakta yang tidak tepat.

Walaupun dengan bersikap demikian, saya terpaksa menjadi mangsa tuduhan, namun kebenaran tetap kebenaran, saya membendung perasaan kerana laporan dibuat sebenarnya telah memberi gambaran berikut:

(i) Wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) RM47 juta diseleweng atau disalahgunakan.
(ii) Penyelewengan berlaku di waktu saya menjadi Menteri, dan saya terlibat dalam penyelewengan itu.
(iii) Projek diberi oleh KPLB kepada swasta.
(iv) Pemberian diberi secara tidak ditender dan tidak mengikut prosedur kerajaan.
(v) Berlaku penyelewengan yang disengajakan sejak awal di peringkat kementerian.
(vi) Penyelewengan ditemui oleh Datuk Azmi, yang berani membuat pendedahan.

(Dan Berita Harian 12 November melaporkan separuh daripada RM47 juta itu digunakan untuk kempen Pilihan Raya 1999 bagi calon tertentu). Berani saya tegaskan semua fakta dan gambaran adalah tidak tepat sama sekali dan dengan perkembangan terbaru semakin jelas dipolitikkan dengan niat yang jahat sekali.

Pertama, hingga hari ini tidak diketahui dari mana datangnya angka RM47 juta ini. Apa lagi hendak dinyatakan wang PPRT sebanyak itu diselewengkan. Mungkin angka itu angka Paid-up Capital (modal berbayar) syarikat-syarikat yang diwujudkan. Tetapi tidak mungkin sebanyak itu. Kalau ya sekalipun, wang PPRT tidak mungkin lebih dari 30 peratus daripadanya dan wang itu belum boleh dikatakan lesap, kerana projek dan syarikat masih ada dan sedang beroperasi.

Dan syarikat itu pula di bawah kawalan kerajaan di mana saham majoriti dan golden sharenya dipegang oleh kerajaan. Apa lagi untuk dikeluarkan RM20 juta membiayai calon pilihan raya di kawasan tertentu!

Apa yang kita tahu berlaku ialah ada unsur penipuan dalam pengurusan dan transaksi syarikat, yang dilakukan oleh mereka yang diamanah menguruskan projek. Dan inilah yang perlu disiasat lanjut dan tentunya akan diambil tindakan menurut undang-undang terhadap sesiapa yang terlibat tanpa mengira siapa mereka, kecil atau besar!

Benar penyelewengan itu dijangka atau mungkin berlaku sekitar tahun 1998 dan 1999 waktu saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar. Malah kita telah mula siasat sejak saya di kementerian dan diteruskan walaupun Menteri bertukar. Ini kerana perkara ini disedar oleh pegawai kanan sejak akhir 1999, tetapi siasatan dan audit memakan masa. Datuk Azmi mengambil langkah yang tepat selepas diberitahu gravity (beratnya) masalah dengan meminta firma audit luar membuat penelitian lanjut, walau beliau terpaksa mengambil masa dua tahun sebelum mendedahkannya.

Perlu dijelaskan menteri menentukan dasar. Tetapi dalam pelaksanaan projek, ada kaedah dan peraturan kerajaan di bawah kawalan KSU sebagai pegawai pengawal.

Sekiranya ada peraturan tidak dipatuhi, tidaklah sukar untuk mencari siapa yang bertanggungjawab. Yang perlu ialah penyiasatan yang rapi menurut undang-undang.

Tetapi dukacita, nampaknya sudah ada pihak yang menghukum dengan hukuman yang berat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, sebelum polis atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) selesai menjalankan siasatan.

Mereka ini sepatutnya bersabar, dan kiranya mereka ada bukti yang boleh membantu penyiasatan, mereka harus tampil ke depan memberi maklumat tersebut. Untuk menulis rencana dan berselindung di sebalik ungkapan berlapik (mungkin kerana takut didakwa) adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pada 11 November 2001, Mingguan Malaysia sekali lagi memainkan cerita ini, kali ini secara lebih terang dengan tajuk lebih sensasi Skandal PPRT Kelantan - Contoh Klasik Kes Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi, ditulis oleh Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Dollah Kok Lanas (DKL). Ini disusuli pula di rencana pengarang dalam Berita Harian, dan penulis yang sama adalah orang yang berpengaruh dalam akhbar tersebut.

DKL mendakwa beliau diberitahu kononnya Datuk Azmi, apabila selesai membaca laporan siasatan bebas tentang apa yang berlaku kepada projek PPRT, dia menangis jelas baginya ramai orang yang petah berbahasa berpura-pura nasionalis dan warak tidak segan silu memiskinkan lagi rakyat yang betul-betul papa kedana'' - sungguh sensasi bunyinya dan siapakah agaknya watak yang cuba dibayangkan itu. Pada malam 11 November 2001 saya ke rumah Menteri Luar Bandar menemui beliau yang bersama isterinya di Jalan Conlay.

Beliau berkata kepada saya kenapa DKL membuat ungkapan seperti di atas dan itu ``direct hitting'' macam dituju kepada saya? Saya telah minta Menteri membaca sekali lagi laporan akhbar itu dan apabila dibaca sekali lagi barulah beliau tersedar bahawa DKL menulis kononnya kata-kata itu diucapkan oleh beliau (Menteri) dan beliau yang dilapor menangis.

Isteri Menteri menyampuk, suaminya tidak pernah menangis kerana kes seperti itu dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berulang kali menyatakan rasa kesalnya kerana DKL menulis dengan menggunakan nama beliau sedangkan peristiwa seperti digambarkan oleh DKL tidak berlaku.

``Kalaupun DKL nak tolong `projek imej' saya, ini bukanlah caranya'' katanya. Kalau begitu, apakah motif sebenar DKL?

Namun tulisan sudah tersebar. Kononnya ini skandal yang mengikut DKL... ``Topik ini dibincang sebelum, semasa dan selepas pilihan raya 1999'' - ertinya kalau sebelum 1999, mungkin dibincang sebelum projek bermula? Satu lagi sensasi ala DKL.

DKL juga berkata ``isu ini adalah antara isu terbesar secara sosek mengapa UMNO Kelantan dan Terengganu Kalah Teruk pada Pilihan Raya Umum 1999''. Bagaimana agaknya huraian DKL mengenai penurunan jumlah undi yang lima kali lebih tinggi di Selangor dan lain-lain. Hari ini di akhbar yang DKL punya kedudukan tinggi membuat liputan bahawa polis memberitahu separuh daripada RM40 juta diguna untuk kempen pilihan raya di Kelantan.

Analisis DKL yang telah beberapa kali menulis tentang politik Kelantan, seolah-olah beliau autoriti yang bijak membicarakan politik Kelantan. Bagi saya biarlah DKL dinilai oleh masyarakat dan rakyat kerana DKL adalah bekas Setiausaha Politik, Timbalan Menteri, Wakil Rakyat, Ketua UMNO Bahagian dan jutawan Kelantan. Rekod khidmat DKL pada rakyat, terutama golongan termiskin, termasuk saudara maranya masih segar dalam ingatan rakyat khususnya di Kok Lanas, Machang dan Peringat.

Meminjam istilah yang dipakai oleh DKL, ``Apabila manusia tamak haloba, lupa daratan, berkuasa dan percaya pula kepada impian kebesaran diri (Delusions of Grandeur) iaitu mereka akan terus berkuasa, mereka akan berani melakukan apa saja sehingga tidak takut berdosa dan malu di dunia''.

Saya kira ungkapan tepat untuk direnung berkali-kali oleh penulisnya, dan mengingati sejarah yang dilaluinya, dan tindakan yang pernah diambilnya, yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah negara ini.
Sebenarnya DKL kawan saya. Sayalah orang yang beliau guna supaya menemui Datuk Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Mahathir agar melantik beliau sebagai Wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Waktu itu beliau sugul kerana majoriti cawangan-cawangan dalam Bahagian Machang di mana beliau menjadi ketua, enggan menyokong dan mencalonnya semula sebagai Ketua Bahagian. Beliau menulis surat (dan saya masih simpan) kepada saya bahawa kiranya PM lantik beliau, beliau akan menarik diri daripada menjadi Ketua Bahagian.

Kalau tidak beliau akan bertanding, dan beliau menegaskan kepada saya bahawa beliau mempunyai banyak wang dan bersedia mencurahkan wang bagi mengalahkan Cikgu Ismail Mamat.

Alhamdulillah, hasrat DKL termakbul untuk berada di Washington, dan tidak perlu menghabiskan wang untuk jawatan Ketua Bahagian Machang.

Malangnya, masalah peribadi DKL dengan saya tidak selesai. Ramai yang memberitahu DKL merasakan beliau terpinggir dalam UMNO Kelantan kerana saya memecahkan sempadan pilihan raya dengan mengambil kawasan Kok Lanas menjadi sebahagian daripada Parlimen Peringat yang saya wakili - sementara DKL menjadi Ketua Bahagian Machang, yang pernah beliau menjadi Ahli Parlimennya.

Walaupun DKL berada di Machang dan selepas itu di Washinton, semua orang tahu `Godfather'nya adalah bekas Timbalan Ketua Bahagian Kok Lanas, Tok Gawa Ripin yang menjadi Timbalan Ketua Bahagian Peringat. Beliau tidak senang apabila Tok Gawa Ripin akhirnya terpaksa diundurkan setelah jatuh diserang angin ahmar - dan UMNO Peringat menonjolkan Alwi Ahmad, bekas Setiausaha Politik saya. Gelora percaturan politik Kok Lanas/Ketereh ditiup secara senyap, dan nampaknya DKL bercita-cita membuat ``political come-back' di Kok Lanas.

Ekoran daripada itu ada bukti menunjukkan dalam pemilihan UMNO Bahagian baru lalu, DKL telah mencuba mengapungkan namanya tetapi tiada respons dari cawangan. Selepas itu Dewan Datuk Dollah di Kok Lanas dicuba untuk menjadi tempat berkumpulnya Kumpulan Menentang UMNO Bahagian. Dua cawangan yang pro Tok Gawa Ripin secara terang-terangan mencalon pihak yang ingin menentang pimpinan Bahagian. Inilah latar belakang situasi hubungan saya dan DKL yang perlu diketahui oleh masyarakat umum.

Kini saya percaya DKL nampak ada peluang untuk menghancurkan kredibiliti saya. Lebih-lebih lagi kerana beliau berkuasa dalam akhbar dan saya percaya beliau masih mempunyai `delusions of grandeur' yang tersendiri.

Saya yang tidak punya apa-apa mungkin dianggap `timun' dan dia menganggap dirinya `durian'. Saya ingin mengingatkan DKL, jaga durian baik-baik, jangan durian jadi tempoyak. Kerana kalau itu terjadi giliran timun pula melanyak durian!

Sebenarnya tulisan DKL amat berbahaya. Mungkin beliau ingin memuji Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baru meluluskan RM50,000 kepadanya untuk membuat satu projek di atas tanahnya di Kelantan, seperti dicerita oleh Menteri kepada saya tadi.

Saya memberitahu Menteri, permohonan yang sama pernah dibuat kepada saya dan saya tidak meluluskannya.

Apakah itu punca marahnya? Saya tidak pasti. Yang pasti ini bukanlah caranya. Ia mengingatkan saya betapa DKL memuji dan memuja Pak Ghafar di satu ketika. Tapi bila Pak Ghafar datang ke Kok Lanas dan singgah di rumahnya untuk meminta sokongan, saya masih ingat DKL mengungkit Pak Ghafar tidak menolongnya.

Selepas itu Bahagian Kok Lanas mencalonkan Anwar menentang Pak Ghafar.

Teringat juga saya betapa DKL kuat menyokong Anwar, dan apabila Anwar jatuh tulisannya begitu keras memburukkan orang yang beliau begitu kuat menyokong sebelumnya. Yang kita dengar dalam siri `Saga DSAI' DKL adalah antara pihak yang menerima pertolongan melangsai hutang.

Apakah DKL yang pernah juga kuat menyokong saya, kerana sebab tertentu kini bertindak untuk menjatuhkan saya?

Begitu juga DKL dengan Tengku Razaleigh. Cuma saya berharap, DKL akan ingat buat selama-lamanya pertolongan Dr. Mahathir terhadapnya, dan tidak akan lupa kiranya satu hari permintaannya tidak dapat dilayan oleh PM kita.

Tuduhan sinis bahawa ada pegawai dan pemimpin politik yang telah dijelmakan oleh peniaga Cina sebagai orang berada, adanya orang yang petah berbahasa berpura-pura nasionalis dan warak dan tidak segan silu memiskinkan lagi rakyat - tuduhan yang amat berat.

Apa lagi tuduhan separuh daripada RM40 juta diguna untuk kempen pilihan raya 1999. Tidak terlalu susah untuk orang tahu siapa yang dituju oleh DKL. Orang politik yang terlibat dengan projek PPRT Kelantan tidak ramai, malah dalam kes ini seorang sahaja. Apa lagi apabila dikaitkan dengan UMNO Kelantan dan kepimpinannya. Apakah saya mesti terus membisu, dan nasihat MT terus mengikat tangan dan menutup mulut saya?

Sebenanya isu peranan DKL dalam mengkritik pimpinan UMNO Kelantan kebetulannya baru dibincang dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Kelantan minggu lepas.

Dan UMNO Kelantan membuat ketetapan untuk bertemu dengan presiden parti mengenai hal ini. Jelas DKL amat dan masih licik berpolitik sesuai dengan warna-warni politik beliau satu ketika dulu. Jelas ada isu politik di sebalik berita-berita ini. Saya ingin berdepan dengan isu ini.

Saya teringat bagaimana DKL berhempas pulas ingin menjadi ``orang Anwar'' sehingga menjadikan Kok Lanas bahagian yang paling awal bermesyuarat untuk mencalon Anwar menentang Pak Ghafar. Selepas itu kita dengar dakwaan, nama DKL disebut sebagai antara orang yang beroleh ganjaran lumayan dari ihsan Anwar.

Begitu juga kini DKL melahirkan dirinya sebagai `orang Mahathir'. Tetapi saya tidak lupa di mana beliau ketika Tengku Razaleigh menentang Mahathir. Kini DKL mendapat `topeng baru' hasil kepercayaan Perdana Menteri, saya ucapkan Selamat Maju Jaya kepada DKL.

Saya sebenarnya sudah lama menjadi orang politik yang agak pasif. Pertama kerana diri dihimpit kesusahan, kedua kerana ingin membantu parti dan Perdana menteri mengikut cara sendiri tanpa publisiti. Tetapi kalau saya dianggap kucing yang boleh disepak sesuka hati, silaplah orang yang berbuat demikian. Saya bersedia ke gelanggang dan saya undang DKL masuk sama secara berani dan bertanggungjawab. Kita berdua orang politik, irama dan lagu boleh kita palu bersama.

Mengenai komitmen saya dalam membantu rakyat, terutama golongan miskin, biarlah dinilai oleh rakyat.

Saya tidak sekaya DKL, walaupun lebih lama berkhidmat sebagai menteri penuh.

Saya tidak punya tanah beribu ekar dan rumah di London. DKL lebih bernasib baik dari saya.

Walapun tidak `graduate' dan hanya menjadi Setiausaha Politik dan Timbalan Menteri sekejap saja, beliau lebih murah rezeki. Dan beliau dilihat lebih `pintar' dan lebih `internasional' dan `survive' lebih lama. Namun saya bersyukur, berpuluh tahun aktif dalam UMNO dan hampir 10 tahun berkhidmat sebagai Menteri rekod saya, tidaklah seburuk yang cuba digambarkan oleh DKL. Insya-Allah cabaran akan bersahut dan kepada Allah saya berserah!

Saya mencabar DKL mengemukakan secara jelas, siapa calon pilihan raya yang menggunakan separuh dari RM40 juta wang PPRT yang diselewengkan itu. Saya mencabar DKL untuk membuat tuduhan tepat terhadap saya dan saya bersedia menerima apa jua akibatnya.
 - Datuk Annuar Musa, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1113&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz2XLWgxoYD 

No comments:

Post a Comment