Thursday, June 27, 2013

JAWATAN PRESIDEN/TIMBALAN PRESIDEN UMNO DIBUKA UNTUK PERTANDINGAN

Berikut ialah kenyataan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor:


"Semua jawatan boleh bertanding. Semua jawatan dari peringkat presiden hinggalah ke jawatan Majlis Tertinggi. Hanya daftarkan diri...semua boleh bertanding."
Elok juga kita ingatkan akan kenyataan Presiden Umno Najib Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 1 Jun yang lalu. Kata Najib:
"Sebagai parti demokrasi, saya bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden. Kita bukan macam parti lain. Kita terima jika ada yang mahu bertanding.”
Sementara itu, Jelapang ingin menarik perhatian kepada proses demokrasi di Australia di mana Perdana Menteri Australia Julia Gillard hilang jawatan Perdana Menteri selepas ditewaskan oleh pemimpin di dalam parti beliau sendiri selepas pengundian berikutan usul tidak percaya kepada kepimpinan Parti Buruh.
Ini lah demokrasi dan kini Umno bakal menyaksikan proses demokrasi yang sama melalui transformasi politik yang akan diperkenalkan oleh Najib semasa pemilihan Umno hujung tahun ini.

PM Julia Gillard tersungkur


Julia Gillard berucap di Parlimen Australia di Canberra, semalam. - AGENSI
SYDNEY 26 Jun - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard tewas dalam pengundian menentukan kepemimpinan Parti Buruh, sekali gus mengembalikan seteru politiknya dan bekas pemimpin parti itu, Kevin Rudd mengetuai parti dan kerajaan.

Rudd yang merupakan bekas Perdana Menteri Australia memperoleh 57 undi berbanding Gillard yang menerima 45 undi dalam pengundian usul undi tidak percaya berhubung 'kepemimpinan parti' tersebut.

Kekalahan Gillard menyaksikan beliau gugur jawatan Perdana Menteri dan sebagai pemimpin Parti Buruh, dalam pendekatan parti untuk mengelak tewas pada pilihan raya umum akan datang.

Kemenangan Rudd itu juga, sekali gus menamatkan perebutan kuasa dalam parti pemerintah Australia itu yang berlaku sejak tiga tahun lalu, selepas Gillard dan Rudd masing-masing berikrar bahawa pihak yang kalah dalam pengundian kepimpinan parti itu, akan bersara daripada politik.

Gillard yang menggulingkan Rudd sebelum tamat penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 2010, mengadakan undian tersebut bagi menyelesaikan persoalan tentang kepimpinan parti itu, sebelum Pilihan Raya Umum yang dijadual diadakan pada 14 September ini.

Kemenangan Rudd tersebut bakal menyaksikan pilihan raya umum diadakan pada Ogos ini bagi memberi kelebihan kepadanya untuk menarik perhatian pengundi yang masih belum mempunyai sebarang pendirian tentang kepimpinan baru parti.

Perubahan kepemimpinan dalam Parti Buruh itu berlaku berikutan beberapa tinjauan pendapat yang menunjukkan kerajaan minoriti pimpinan Gillard mungkin kalah teruk, selain memberi peluang kepada parti pembangkang menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Tinjauan pendapat juga menunjukkan Rudd lebih popular dalam kalangan pengundi dan kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri, akan mengurangkan saiz kekalahan Parti Buruh.

Perubahan kepemimpinan itu dilihat tidak memberi kesan besar kepada polisi negara kerana Rudd dan Gillard menyokong kerjasama ketenteraan antara Australia dan Amerika Syarikat (AS) dan menyokong penuh peningkatan hubungan perdagangan dengan China. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130627/lu_05/PM-Julia-Gillard-tersungkur#ixzz2WuNz31qY
© Utusan Melayu (M) Bhd 


No comments:

Post a Comment