Monday, March 11, 2013

RASUAH; SENARAI CALON NAJIB PENENTU

11 Mac, Jam 11.11 pagi. Ini dikatakan tarikh dan masa keramat Najib Tun Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen kononnya No 11 adalah nombor kegemaran Najib. Allahyarham bapanya, Tun Razak, dilahirkan pada 11 Mac 1922.

Akhirnya ia tidak menjadi kenyataan. Selepas ini, akan timbul spekulasi Parlimen akan dibubarkan samada Jumaat ini ataupun selepas mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Sudah lama rakyat menunggu PRU-13 ini. Mereka menunggu tanpa sabar sejak awal tahun lepas. Gambaran di akar umbi ialah rakyat tidak sabar-sabar hendak mengundi. Siapa yang mereka akan undi, adalah perkara lain.

Segala-galanya telah dilakukan. BR1M telah habis diberikan. PR1MA hari-hari mengumumkan mahu membina rumah di sana dan di sini walaupun sehingga hari ini sebuah rumah pun belum kelihatan. Berperang pun dah sudah. Tinggal tunggu masa untuk mengundi saja lagi.

Jelapang amat kagum dengan pengenalan apa yang dinamakan sebagai NKRA oleh Najib apabila beliau mula-mula mengambil alih tampuk perkhidmatan.

Antara NKRA yang dibawa oleh Najib ialah mengurangkan kos kehidupan dan jenayah. Yang paling menakjubkan ialah janji beliau untuk membanteras rasuah dan Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan rasuah berkurangan ialah lain dan tidak bukan Nazri Aziz.

Untuk membanteras rasuah bukan perkara mudah. Bukan mudah untuk seseorang menolak untuk mendapatkan duit cara mudah.

Untuk membanteras rasuah, kita perlukan ketahanan diri. Pastikan kita sendiri menghindari rasuah sebelum kita cuba menghindari orang lain dari terlibat dengan rasuah.

Sudah pasti manifesto BN akan menyatakan kejayaan kerajaan dalam membanteras rasuah.

Bagi Jelapang, samada Najib serius atau tidak untuk membanteras rasuah akan dapat dilihat dari senarai calon BN yang akan dikemukakan beliau.

Ramai pemimpin-pemimpin termasuk Menteri-Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dikaitkan dengan rasuah semasa pentadbiran Najib.

Mudah saja kita membuat kesimpulan. Kalau Menteri-Menteri atau Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Besar ini masih bertanding, boleh kita menyimpulkan Najib tidak serius dalam membanteras rasuah. Atau dengan kata lain Janji Tidak DiTepati.

Najib tahu siapa Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Besar yang terpalit ini.

No comments:

Post a Comment