Thursday, September 23, 2010

KAWASAN SHAFIE APDAL TERBIAR

Shafie Apdal patut meneliti surat pembaca berikut yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dua hari lalu dan merealisasikan hasrat Najib Razak untuk mendahulukan rakyat.

Pengalaman perit berhari raya di Semporna, Sabah

SAYA baru menghabiskan cuti raya selama dua minggu di rumah mertua saya di Semporna, Sabah bersama suami dan seorang anak kecil.

Ini kali pertama saya beraya di Semporna, Sabah dan tentunya saya menggambarkan keindahan beraya di perantauan.

Sayang seribu kali sayang, realiti kehidupan di Semporna tidaklah sesempurna namanya. kemudahan paling asas, iaitu bekalan air bersih amat-amat kritikal. walaupun dikelilingi laut, hakikatnya Semporna amat-amat dahagakan bekalan air bersih.

Sepanjang berada di sana, hanya dua kali bekalan air dapat digunakan. saya difahamkan, bekalan air ini dicatu di kampung-kampung, tetapi tiada masalah di taman-taman perumahan dan kuarters kerajaan.

Disebabkan kekurangan bekalan air bersih, penduduk terpaksa mengharapkan air hujan untuk digunakan. ini disebabkan bukan semua rumah yang mempunyai perigi sebagai bekalan air.

Begitu juga saya yang terpaksa berjimat-jimat dan menggunakan air hujan untuk mandi, membasuh baju dan memasak.

Apa yang lebih memeritkan, anak kecil saya dijangkiti kudis seluruh badan sehingga terpaksa ke klinik sebanyak dua kali disebabkan menggunakan bekalan air yang tidak bersih.

Saya juga terpaksa ke klinik kerana cirit birit selama dua hari, juga disebabkan bekalan air yang tidak bersih.

Setahu saya, setiap tahun kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang tinggi bagi Sabah dan Sarawak, tetapi kedaifan di Semporna menggambarkan seolah-olah sabah tiada pembangunan.

Tiada lampu jalan, jalan yang kebanyakannya rosak, tiada pengangkutan awam, kawasan pasar yang lecak dan kotor dan kawasan hospital yang tidak dapat dilindungi daripada anjing-anjing liar.

Saya ingin menarik perhatian Menteri Kemajuan Luar Bandar dan wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkaitan masalah ini, apakah peruntukan tinggi yang disediakan oleh kerajaan pusat saban tahun tidak dapat disalurkan kepada kawasan-kawasan kampung dan pedalaman yang lainnya?

Tidak dinafikan bahawa kerajaan ada menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan modal untuk mereka berniaga kecil-kecilan, tetapi semua itu tidak berbaloi jika kemudahan asas yang penting masih lagi tidak dapat dibekalkan dan diatasi.

Saya sendiri tidak tahan dengan keadaan serba kekurangan ini selama dua minggu berada di sana, apatah lagi penduduk Semporna yang memang hidup serba kekurangan tetapi tidak tahu apa tindakan yang patut mereka lakukan demi memastikan generasi akan datang dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

MENANTU TERKILAN
Putrajaya
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

No comments:

Post a Comment