Saturday, January 30, 2010

KADIR JASIN: HAK ORANG MELAYU DIHAKIS

Sekiranya Umno beranggapan bahawa apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan selama ini akan berjaya menambat hari pengundi bukan Melayu, maka Umno silap besar.

Apa yang dilakukan selama ini hanya meminggirkan orang Melayu lebih jauh lagi dari Umno. Sudah ada orang Melayu meluat dan jauh hati dengan cara dan kaedah pimpinan Umno mendekati bangsa lain seolah-olah Umno bukan lagi tunjang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Terus terang kita katakan budi yang dilakukan oleh Najib Razak dan pimpinan Umno terhadap bukan Melayu - membuka sektor ekonomi penting kepada kaum lain, lawatan ke tempat ibadat kaum lain, memberi lebih peluang kepada kaum lain dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pentadbiran kerajaan - belum tentu akan dibalas dengan undi untuk Barisan Nasional.

Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Yang rugi ialah bangsa sendiri dan Umno menjadi bahan sejarah.

Blogger Abdul Kadir Jasin menulis mengenai kesilapan yang bakal dilakukan oleh Najib dan pimpinan. Kita harap orang Melayu terutamanya pemimpin Umno melapangkan masa membaca tulisan Kadir ini.

Thursday, January 28, 2010

Saya Mahu Terus Jadi Orang Melayu
A Kadir Jasin


MAAF cakap, saya bangga jadi orang Melayu. Walaupun kadangkala saya malu dengan sikap, tabiat dan pencapaian sesetengah orang Melayu apatah lagi apabila orang Melayu dikaitkan dengan rasuah dan kemalasan, namun saya tetap bangga jadi orang Melayu di Malaysia.

Saya yakin orang Cina pun bangga jadi orang Cina dan orang India pun bangga jadi orang India. Tidak mengapalah kalau ramai generasi muda India dan Cina meminjam nama orang putih walaupun mereka bukan Kristian dan tidak boleh berbahas Inggeris dengan baik. Dalam suasana tiru meniru cara Malaysia ini, orang muda Melayu pun terikut-ikut guna nama Inggeris.

Justeru itu saya tetap akan mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain. Lagipun, identiti Melayu itu mengesahkan saya sebagai seorang Muslim, Bumiputera dan tidak makan daging babi atau minum arak.

(Baru-baru ini saya makan di sebuah restoran canggih di Bangsar. Saya minta spageti dengan kepah. Tapi ada chardonnay. Jadi saya tanya, chardornnay betul atau ala Malaysia. Dia kata betul. Jadi haramlah. Tapi spageti dengan kepah boleh dimasak tanpa arak. Ajaibnya di Malaysia ni, benda haram pun boleh jadi halal dengan menukar bahan. Maka bacon yang asalnya daripada daging babi, tapi di Malaysia dihalalkan dengan menggunakan daging lembu atau ayam Belanda.)

Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

Bernama memetik Pelan Hala Tuju (PHT) Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak hari ini sebagai berkata:

“Dalam memupuk kerajaan 1Malaysia, adalah dicadangkan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.”

Am I Malaysian just because I am proud being a Malay. Adakah cinta saya kepada Malaysia hambar dan kosong kerana saya mahu kekal sebagai seorang Melayu dan mahu identiti Melayu saya itu direkodkan?

Saya tidak peduli kalau orang Cina, India, Iban, Kadazan yang semua yang lain tidak mahu menyatakan afiliasi kaum mereka dalam Kad Pengenalan, Sijil Lahir, Sijil Mati, Sijil Nikah, geran tanah dan segala macam lagi dokumen rasmi Kerajaan 1Malaysia. Itu hak mereka.

Mana tahu orang Cina dan India Malaysia tidak lagi bangga dengan asal usul etnik mereka dan mahu jadi bangsa 1Malaysia.

Saya mahu identiti Melayu saya diketahui dan diakui kerana saya adalah anak peribumi Tanah Melayu, satu bangsa dari Kepulauan Melayu (the Malay Archipelago) dan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.

Takdirnya saya mati di tepi jalan dan sesiapa pun menemui jasad saya yang kaku itu mereka akan tahu saya seorang penganut Islam apabila mereka melihat bangsa saya tercatat sebagai Melayu.

Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis.

Membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi seperti dicadangkan itu adalah satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa induk, bangsa peribumi dan bangsa majoriti di bumi Malaysia ini.

Adakah semata-mata kerana orang bukan Bumiputera “rasa kehilangan hak, diskriminasi dan malah rasa geram” terhadap Dasar Ekonomi Baru maka saya, sebagai orang Melayu, tidak lagi berhak menyatakan identiti bangsa saya?

Kalau orang bukan Bumiputera rasa kehilangan hak, diskriminasi dan rasa geram kerana mereka beranggapan DEB tidak menguntungkan mereka, apakah semua orang Melayu dan Bumiputera puas hati dengan dasar itu?

Adalah satu kesilapan yang sangat besar menganggap Melayu dan Bumiputera tidak tahu bahawa yang lebih ramai menjadi kaya raya dan senang lenang akibat DEB adalah orang bukan Bumiputera.

Jadi, tolonglah jangan kacau saya kalau saya bangga jadi Melayu dan mahu kebangsaan saya direkodkan secara rasmi. Terima kasih. http://kadirjasin.blogspot.com/

1 comment:

  1. terima kasih jelapang kerana masuk saya dalam list

    shih huang ti
    http://www.maharaja-kaiser.blogspot.com/

    ReplyDelete