Tuesday, September 22, 2009

BAGAN PINANG: PENENTU KEPIMPINAN NAJIB

Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan adalah antara 4 Menteri Besar yang tewas di dalam pemilihan Umno Mac lepas.
http://www.mesra.net/forum/index.php?showtopic=88250

Maka penganalisa politik ketika itu meramalkan Mohamad Hassan akan digugurkan oleh Najib Razak sementara musuh Menteri Besar Negeri Sembilan pula sudah pun membaca talqin untuk Mohamad Hassan.

Bagaimanapun ramalan tersebut meleset sama sekali. Najib mengekalkan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar walaupun Presiden Umno itu mengetahui Mohamad Hassan lebih mendatangkan masalah kepada Umno dari membawa kebaikan.
http://beritadarigunung.blogspot.com/2008/09/mohamad-hasan-negeri-sembilan.html

Kenapa Najib bertindak sedemikian? Dua sebab. Pertama, Najib tidak mahu dilihat sebagai melakukan "witch hunt" terhadap orang-orang Pak Lah. Kedua, Najib memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang "play safe", seorang pemimpin yang memilih jalan paling selamat dan tidak mampu beradu pengaruh seperti pemimpin Umno lain.

Sepanjang karier politik Najib, kebanyakan keputusan politik beliau menjuruskan kepada mencari jalan selamat, tanpa ranjau. Oleh itu, pilihan terbaik untuk mengelakkan diri dari mengambil risiko dan kontroversi, Najib mengambil keputusan untuk mengekalkan Mohamad Hassan di Negeri Sembilan walaupun ditentang oleh majoriti ketua-ketua bahagian di Negeri Sembilan.

Paling lantang menentang Mohamad Hassan ialah Ketua Bahagian Seremban Ishak Ismail yang terang-terangan menghentam Mohamad Hassan. http://www.mesra.net/forum/lofiversion/index.php/t61389.html

Pembabitan Azman, abang Mohamad Hassan, di dalam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan dan Perhubungan Umno Negeri Sembilan mendapat tentangan dari Ketua-Ketua Bahagian. Tetapi ini tidak dipedulikan Mohamad Hassan.

Apabila tewas di dalam pemilihan Umno Mac lepas, Mohamad Hassan umpama cacing kepanasan. Beliau resah dan gundah gulana memikirkan akan digugurkan oleh Najib sebagai Menteri Besar. Musuh-musuh Mohamad Hassan menanti saat-saat akan berakhirnya karier politik Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Bagaimanapun, Najib mengambil keputusan menyebelahi Mohamad Hassan. Maka beliau kekal sebagai Menteri Besar.

Kemungkinan keputusan itu dibuat tanpa memikirkan masa depan Umno di Negeri Sembilan.

Kini, Umno menghadapi cabaran yang cukup getir di pilihanraya kecil Bagan Pinang. Mungkin ramai meramalkan Umno akan menang mudah berdasarkan jumlah undi pos yang besar.

Menang sudah pasti. Tetapi bagaimana kalau Umno kalah! Dan bagaimana kalau Umno menang tetapi gagal mempertahankan majoriti semasa pilihanraya umum 2008?

Kalah Umno di Bagan Pinang adalah penanda berakhirnya hayat Umno dalam politik negara. Nasib yang akan menimpa Umno nanti samalah dengan nasib parti LDP di Jepun dan memang benarlah bahawa Najib adalah pelengkap kepada teori RAHMAN.

Kini, Najib dan konco-konconya menyedari akan perjudian di Bagan Pinang. Pakatan Rakyat juga menyedari, inilah peluang keemasan untuk merangkul mahkota politik paling berharga dalam politik tanahair.

Itulah sebabnya Pakatan Rakyat mengambil pendekatan menyerang di Bagan Pinang. Gagal tidak mengapa. Kalau berjaya, ianya penanda zaman kegelapan Umno dalam pilihanraya umum yang akan datang kerana mustahil pembangkang boleh menang di Bagan Pinang kerana ia merupakan kubu kuat Umno. http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/37627-bagan-pinang-pr-ambil-pendekatan-menyerang

Najib mahukan kemenangan. Bagi Najib, kemenangan "dalam tangan" sekiranya Isa Samad menjadi calon. Najib takut kepada kekalahan. Kalau ikut hati, Najib mahu umumkan siang-siang lagi Isa Samad sebagai calon.

Tetapi masalah kepada Najib ialah rakyat mahukan Umno membuktikan bahawa Najib benar-benar ikhlas mahu membawa perubahan dalam Umno.

Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menyatakan pendirian beliau. Isa bukan calon Bagan Pinang. Isa seorang perasuah politik. Ini bukan tuduhan. Ini adalah keputusan pucuk pimpinan Umno.

Tetapi ketua-ketua bahagian yang menentang Mohamad Hassan mahukan Isa. Sebabnya mudah. Mereka tidak mahu Mohamad Hassan tidur nyenyak.

Sekiranya Isa menjadi calon, maka Isa bakal diwarwarkan sebagai pengganti Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan sudah pasti, Isa adalah orang terakhir yang Mohamad Hassan mahukan sebagai calon di Bagan Pinang.

Semalam, seorang veteran Umno mengakui Umno Negeri Sembilan dilanda badai. Menurut beliau, bukan rahsia lagi bahawa Umno Negeri Sembilan bagaikan kapal pecah dan sekiranya ianya tidak dibaiki, Umno bakal tewas di Bagan Pinang.
http://www.nst.com.my/Current_News/NST/articles/09iop-2/Article/index_html

Bukan itu sahaja masalah Umno. Barisan Nasional juga menghadapi masalah dengan perpecahan berlaku di dalam MCA, MIC dan PPP. http://www.nst.com.my/Current_News/NST/articles/08heng-2/Article/index_html

Harapan BN untuk mendapat sokongan dari pengundi Cina hanya 15 atau 20 peratus.

Menurut Rita Sim, pemikir MCA, antara 80 dan 85 peratus pengundi Cina hari ini menyokong Pakatan Rakyat. http://www.malaysiainsider.com/index.php/malaysia/38336-mcas-real-crisis-is-the-chinese-no-longer-care-

Apakah langkah Najib seterusnya? Inilah masanya untuk kita menilaikan kewarasan dan kebijaksaan (wisdom) Presiden Umno ini. Inilah masanya untuk kita menilai samada beliau benar-benar mempunyai keulungan seperti Presiden-Presiden Umno terdahulu (kecuali Pak Lah) atau beliau juga hambar seperti Presiden Umno yang lepas, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

1 comment:

  1. Setuju sebab Najib dan UMNO sudah tidak punya alasan lagi jika mereka tewas di kubu kuat sendiri.

    Jika menang, ia hanya baru titik permulaan dan UMNO tidak perlu bergembira dan yakin sangat.

    Kedatangan Tun di rumah terbuka Mohamad Hassan yang dikenali sebagai kroni kuat Pak Lah sekadar dipergunakan untuk menunjukkan beliau masih relevan dengan kedatangan begitu ramai pemimpin UMNO negeri tetapi semua itu diakui tidak dapat 'membeli' pengaruhnya.

    ReplyDelete