Thursday, November 27, 2008

PENDERA NIRMALA LAYAK MERENGKUK DALAM PENJARA!

PENDERAAN PALING KEJAM. Itulah tajuk muka hadapan Utusan Malaysia pada 20hb Mei 2004 mengisahkan bagaimana kejamnya Nirmala Bonat, pembantu rumah rakyat Indonesia, didera oleh surirumah Yim Pek Ha.

Hari ini Pek Ha dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala empat tahun lalu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Begitu kejam penderaan terhadap Nirmala sehinggakan Utusan Malaysia pada masa itu menulis satu berita yang cukup menyayatkan hati. Disiarkan semula berita yang ditulis Utusan Malaysia.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kisah penderaan ke atas seorang pembantu rumah rakyat Indonesia semalam yang dizalimi tanpa hati perut - dijirus air menggelegak, ditekap seterika panas, dipukul dengan besi berbara tiada bezanya dengan perbuatan tentera penceroboh di penjara Abu Gharib, Iraq.

Cuma yang membezakannya ialah ia berlaku di Malaysia - negara yang kononnya mempunyai rakyat bertimbang rasa dan penuh kasih sayang.

Tetapi melihatkan gambar yang tertera di akhbar ini, di manakah perginya semua sifat itu? Persoalannya, apa sudah jadi dengan masyarakat kita?

Mengapakah manusia yang lemah seorang pembantu rumah yang mencuci punggung anak kita dan bermanja dengan mereka sanggup diperlakukan seperti binatang?

Nirmala Bonat, 19, warga Indonesia yang tiba di negara ini dengan harapan mencari nafkah halal, akhirnya terpaksa melarikan diri meminta pertolongan.

Gadis berasal dari Nusa Tenggara Timur, Kupang, Indonesia itu dipercayai didera teruk oleh majikan wanitanya sejak lima bulan lalu semasa bekerja di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini.

Mangsa, antara lain, melecur pada kedua-dua buah dadanya akibat ditekap dengan seterika panas.

Bahagian belakang badan mangsa melecur teruk disiram air panas.

Begitu juga kedua-dua belah tangannya melecur akibat direndam dalam air panas.

``Saya terpaksa melarikan diri selepas tidak tahan dipukul setiap hari oleh majikan sejak lima bulan lalu,'' katanya kepada wartawan hari ini setelah menerima perlindungan di Kedutaan Indonesia di sini.

Menurutnya, dia mula didera selepas tiga bulan bekerja dengan pasangan suami isteri yang mempunyai empat orang anak itu.

``Kali pertama saya didera berpunca dari kesilapan kecil iaitu memecahkan sebiji cawan menyebabkan majikan saya berang lalu menyimbah air panas ke badan saya.

``Sejak itu sekurang-kurangnya sekali sehari saya dipukul walaupun ia hanya melibatkan kesalahan remeh-temeh,'' ceritanya.

Nirmala menambah, dia datang ke Malaysia melalui ejen pekerjaan yang sah untuk bekerja sebagai pembantu rumah pada September 2003.

Sebelum dihantar bekerja, katanya, dia terlebih dahulu dikehendaki menjalani latihan oleh ejen berkenaan selama dua minggu.

``Selesai latihan saya terus dihantar bekerja dan tidak menyangka akan dilayan dengan buruk oleh mereka,'' ujarnya.

Menurut Nirmala, perbuatan kejam seperti disiram dengan air panas, dipukul dengan benda keras atau menggunakan besi panas, hanya dilakukan oleh majikan wanita berkenaan yang tidak bekerja.

Majikan wanitanya itu juga didakwa telah memaksa Nirmala menandatangani sepucuk surat yang mengatakan Nirmala mencederakan dirinya sendiri bagi mengelakkan perbuatan itu terdedah.

Tambahnya, suami majikan wanita itu yang bekerja dengan sebuah syarikat perdagangan, tidak berbuat apa-apa walaupun dia mengetahui tindakan kejam isterinya.

Berikutan tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan, Nirmala bertindak nekad melarikan diri apabila mendapat peluang berbuat demikian semalam.

``Pada pukul 3 petang semalam majikan saya sekali lagi mendera saya dengan memukul kepala saya menggunakan cawan besi sehingga bengkak kerana tidak puas hati dengan pakaian yang digosok.

``Dalam kekecohan itu saya berkesempatan melarikan diri keluar dari rumah itu dan bersembunyi di salah satu tingkat kondominium tersebut sebelum ditemui seorang pengawal keselamatan,'' katanya.

Pengawal keselamatan di kondominium itu menghubungi polis yang kemudian mengambil Nirmala untuk membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selepas dirawat gadis itu diserahkan kepada Kedutaan Indonesia sementara menunggu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Hadi Ho Abdullah mengesahkan polis telah menahan wanita majikan Nirmala berusia 34 tahun untuk membantu siasatan.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Akhirnya, hari ini mahkamah memberi keadilan kepada Nirmala. Bayangkan apa tindakan Kerajaan Indonesia sekiranya mahkamah membuat keputusan sebaliknya.

Rakyat Indonesia masih marah dengan layanan yang diberikan terhadap pembantu rumah. Ada pembantu rumah dikerah membawa anjing bersiar-siar seawal empat pagi. Ada pembantu rumah dikerah membasuh kereta sebelum tuannya keluar ke pejabat. Lebih malang lagi, ada pembantu rumah Islam yang dipaksa memasak daging babi setiap hari.

Sifat kemanusiaan kadangkalanya tiada lagi kepada sesetengah masyarakat kita.

Pek Ha tidak memerlukan simpati dari kita semua. Yang memerlukan simpati pada ketika ini ialah Nirmala Bonat.

Laporan di Indonesia:
1) METRO: http://www.metrotvnews.com/berita.asp?id=51604
2) DETIK NEWS: http://www.detiknews.com/read/2008/11/27/151508/1044014/10/majikan-penyiksa-nirmala-bonat-divonis-18-tahun

1 comment:

  1. Maha suci Allah. Hati saya juga terobat dengan keputusan mahkamah itu. Mengikuti laporan perbicaraan mereka yang panjang memang terasa geram bila Pek Ha yang tak insaf tu membuat tuduhan berbagai ke atas Nirmala Bonat.
    Hari ini Allah menunjukkan keadilan.
    Yang lain hati-hati...

    ReplyDelete