Sunday, August 3, 2008

SYED HAMID: MAKI HAMUN DALAM UMNO

"Pertandingan kali ini sengit, nampak bersungguh-sungguh ada kemaruk. Kita hendak berperang sesama sendiri, bukan sahaja politik wang tetapi ada juga yang menggunakan pengaruh luar dan ancaman. Kita sama kita tak betul, maki-hamun dan jemput orang luar untuk maki-hamun. Tak pernah saya lihat (sebelum ini)." - Syed Hamid Albar

Jika boleh, kita ingin menyelami perasaan Syed Hamid di saat-saat ini terutamanya ketika beliau menghadapi tentangan hebat dari bekas Naib Ketua Bahagiannya Daeng Malik di Kota Tinggi.

Minggu lepas, Ketua Wanita Rafidah Aziz turut merungut pabila mendapati Pergerakan Wanita juga diresapi politik wang.

Politik wang bukan baru dalam Umno terutamanya menjelang pemilihan Umno. Juga bukan perkara baru orang yang ditentang merungut lawannya menggunakan wang untuk meraih simpati dan undi.

Yang menghairankan, kenapa bila ditentang baru nak bergendang? Rafidah dan Syed Hamid dah lama dalam Majlis Tertinggi Umno dan kenapa baru sekarang nak bercakap mengenai "penyakit barah" yang akan menghancurkan Umno?

Rasa-rasanya, tidak ada satu pemilihan pun dalam abad ini yang bersih dari politik wang. Yang berjawatan menggunakan wang untuk kekal berkuasa, yang belum juga menggunakan wang untuk mendapatkan kuasa.

Hanya yang tidak bernasib baik "tertangkap" dek politik wang. Mohd Nor Awang, Naib Ketua Bahagian Seremban, yang ditangkap BPR semalam kerana menyogok RM500 kepada ahli Umno untuk menyokongnya bertanding menentang Ketua Bahagian Ishak Ismail adalah orang yang tergolong dalam kumpulan tidak bernasib baik ini.

Tanyalah ahli-ahli Umno. Tanyalah mereka siapa yang keluarkan wang untuk bertanding dan siapa yang menyogok untuk kekal berkuasa. Ianya bukan rahsia lagi. Ahli-ahli Umno, pak cik, mak cik, orang kampung tahu siapa yang berleluasa membeli jawatan. Tanyalah mereka.

Kita setuju Umno akan hancur dengan politik wang tetapi Umno juga akan hancur bila pemimpinnya menentang politik wang hanya apabila dia ditentang. Tepuk dada tanyalah selera.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm
http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_88389ac2-c0a85062-19a18430-5d6de964

No comments:

Post a Comment