Thursday, August 21, 2008

SKANDAL SEKS, RASUAH DI PERAK: SALAH SIAPA?

"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan mana-mana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Projek tak wujud jadi mustahil kedua-dua Exco boleh membantu meluluskan projek. Kami yakin kedua-dua exco dan rakan-rakan telah dianiaya. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa." - Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin.
“Tiga daripada saspek termasuk Exco Kerajaan Negeri itu ditangkap sejurus selepas mereka menerima suapan berjumlah lebih RM100,000 sebagai balasan untuk mempercepatkan proses permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta itu. Mereka juga disyaki terlibat dengan rasuah seks.” – Kenyataan BPR.

SUAPAN DAN RASUAH SEKS. Dua tuduhan yang amat serius.

Kalau diimbas kembali keputusan pilihanraya Mac 18, rata-rata penganalisa politik membuat kesimpulan kekalahan BN dan Umno di enam negeri adalah berpunca dari keangkuhan dan amalan rasuah sesetengah pemimpinnya.

Musibahnya, Umno tewas dengan teruk di Kelantan, Kedah jatuh ke tangan Pas, Pulau Pinang ke tangan DAP, Selangor diperintah Keadilan, Kuala Lumpur ke tangan DAP dan Perak diperintah Pakatan Rakyat.

Itulah akibatnya dan kesannya amat serius. Kerajaan Pakatan Rakyat baru berusia lima bulan atau kata orang Melayu setahun jagung.

Masalah di dalam BN menyebabkan orang Melayu tercari-cari wakil baru mereka Mac lalu. Suatu perkara yang perlu diakui kepimpinan Pakatan Rakyat bahawa sudah wujud sentimen di kalangan segelintir rakyat sekarang bahawa tidak ada perbezaan antara Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpin lain yang angkuh dan mengamalkan rasuah.

Insiden yang melibatkan Exco Perak pasti akan menimbulkan krisis keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya Keadilan.

Kepimpinan Keadilan pasti tidak tidur malam memikirkan hari demi hari keyakinan rakyat terhakis dek kecurangan sesetengah pemimpinnya.

Tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua Exco Perak, tetapi kesan politik kepada Pakatan Rakyat amat serius.

Tidak memeranjatkan sekiranya seperti yang diramalkan bekas Menteri Besar Perak Tajol Rosli Ghazali bahawa kerajaan campuran Pakatan Rakyat di Perak akan tumbang akhir bulan ini.

Kenyataan Mohammad Nizar bahawa kedua-dua ahli Exco tersebut mungkin teraniaya adalah kenyataan politik untuk menyelamatkan cebisan maruah Pakatan Rakyat.

Tetapi salah siapa?

1 comment:

  1. kalaulah betul seperti apa yang diperkatakan, bersoraklah BN,kalau tak betul kenalah bertanggungjawab terhadap segala tuduhan. Namun realitinya nampak macam diatur. konspirasi politikuslah tu... apa pun tunggu dan lihat. yang maha mengetahui telah menetapkan segalanya.

    ReplyDelete