Sunday, July 6, 2008
SKETSA PARLIMEN 8 (JULAI 3/08): MAHFUZ, CACING & LOUIS VUITTON
“…bagi saya rebat RM625 untuk kereta 2000cc hanya untuk RM1.70 bagi satu hari. RM1.70 apa kita boleh buat? Hendak bubuh minyak motor pun tidak boleh. Kalau minyak itu sudah kering, naik lampu dah pergi bubuh RM1.70, dia start masuk gear, mati, sebab minyak itu hanya diguna untuk menghidupkan enjin, masuk gear, mati, tambah-tambah kalau dapat RM1.50. Melainkan macam orang Padang Besar (Azmi Khalid), memang dia besar. Dia tidak ada apa-apa masalah, pencen menteri ada, elaun Ahli Parlimen pun ada. Isteri pun cantik.” – Mahfuz Omar (Pokok Sena)
“Tok saya pun boleh habaq, sabaq, tabah, jimat. Kalau dahulu tok saya habaq, “Jimat che”, jangan makan lauk banyak sebab kalau makan lauk banyak, cacing. Kalau pergi buang air besar, ada cacing. Jadi kita pun takut, padahal bukan tok kita beritahu bukan masalah cacing, masalah duit tidak ada.” – Mahfuz Omar (Pokok Sena)
“Takkan kita hendak salahkan Bagan (Lim Guan Eng) bila dia naik jadi ketua menteri. Melayu Pulau Pinang terpinggir. 50 tahun UMNO buat apa? Duk cangak, nganga sahaja...” - Mahfuz Omar (Pokok Sena)
Terese Kok vs Joseph Kurup
Teresa Kok (Seputeh): Apa yang baik tentang jalan di Sabah ialah ia tidak ada tol tetapi kualiti jalan begitu teruk sekali. Ada tempat 20km langsung tidak ada tar tetapi dibuka untuk kereta. Ada yang tanah runtuh. Di Keningau kita tengok ada hospital yang begitu canggih, besar, ada sekolah yang begitu besar tetapi tidak ada kelengkapan.
Joseph Kurup: Apabila memberi keadaan jalan-jalan di negeri Sabah, salah satu saya setujuilah kalau kita pergi ke luar bandar memang jalan rayanya tidak berapa baik. Oleh sebab keadaan negeri Sabah itu begitu luas sekali. Akan tetapi janganlah cakap, bilang jalan raya begitu sangat teruk sekali. Bukanlah begitu teruk sekali, baik juga.
Teresa Kok: YB pernah pergi ke tempat yang saya cakap ini ke?
Joseph Kurup: Saya orang Sabah dan sering kali pergi tempat itu. Saya tidak percaya ia mengambil masa tujuh jam sampai di Kudat.
Teresa Kok: Mungkin YB pergi dengan kapal terbang dan helikopter, itu sebab YB tak tahu.
“Kurang logik jika diskaun ini juga diberi kepada golongan bumiputera yang memiliki atau mampu membeli rumah mewah berjuta-juta ringgit. Jika sebuah rumah dibeli bernilai RM1 juta, diskaunnya sudah mencukupi untuk membeli sebuah rumah kos rendah.” - Chua Tee Yong (Labis)
“Saya mencadangkan supaya kerajaan dapat memberikan subsidi dalam bentuk wang tunai terus kepada isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan. 24% (pendapatan kurang RM1,500 sebulan) daripada 27 juta penduduk adalah 6.4 juta. Andaikan sebuah institusi keluarga terdiri daripada empat orang, iaitu ibu, bapa dan dua orang anak, maka dengan ini sebanyak 1 juta penduduk memerlukan pertolongan subsidi wang tunai ini segera. Jika dengan kesimpulan mudah, sebuah keluarga diberi RM10,000 setahun, maka hanya sebanyak RM17 bilion yang diperlukan.” - Chua Tee Yong (Labis)
Ahmad Maslan (Pontian)
Pulau Pisang dekat di tengah,
Batu Putih tiada lagi,
saya bangun untuk berhujah
bagi membela ibu pertiwi.
“…apakah mereka yang boleh membeli kereta Porsche dan Mercedes, membeli beg tangan Louis Vuitton dan Prada, pergi makan angin di Paris dan Milan mendapat diskaun ini atas nama bumiputera. Saya nampak YB Kinabatangan pun pakai beg Louis Vuitton. Tak kan orang yang boleh beli beg Louis Vuitton, Prada diberikan diskaun rumah.” - Loke Siew Fook (Rasah)
http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-03072008.pdf
No comments:
Post a Comment