SIAPA PULA SELEPAS SAPP? Seorang rakan spontan menjawab UPKO!
UPKO ialah singkatan kepada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu dan presidennya ialah Tan Sri Bernard Giluk Dompok yang memegang jawatan tertinggi parti tersebut sejak 1994.
Akhbar NST merupakan yang pertama menafikan khabar angin ini. http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Thursday/Frontpage/20080619170535/Article
Kalau mengikut laporan NST, Dompok dan pemimpin UPKO yang lain akan terus setia kepada Abdullah Ahmad Badawi.
"Tiada siapa dari UPKO akan meninggalkan BN. Kita tidak ada masalah dengan Abdullah atau BN. Oleh itu tidak timbul persoalan kami meninggalkan BN. Kami sedang menumpukan perhatian kepada mesyuarat bahagian dan cawangan and kami tidak mempunyai masa untuk memikirkan hal seumpama ini."
Itulah ungkapan setiausaha agong UPKO Wilfred Madius Tangau kalau NST boleh di percayai.
Bagaimanapun menurut seorang rakan yang menelefon dari Kuala Lumpur, riuh rendah di ibukota Bernard Dompok (kiri) akan membawa UPKO menuruti jejak SAPP dan Yong Teck Lee.
Yang pasti NST telah menafikan ura-ura tersebut. Malah telah menjadikan kenyataan Timbalan Presiden SAPP Raymond Tan menafikan SAPP akan keluar dari BN sebagai berita sampingan di
muka 6 NST pada Selasa lepas.
Semalam, Yong Teck Lee mengumumkan partinya hilang kepercayaan kepada Abdullah dan mendesak beliau meletakkan jawatan. Apakah perkara yang sama akan berlaku dalam UPKO?
Yang jelas penafian bahawa UPKO akan keluar dari BN dibuat oleh setiausaha agungnya dan bukan Bernard Dompok.
Berita NST Selasa lalu tidak salah. Yong Teck Lee tidak membawa SAPP keluar dari BN. Cuma SAPP, sebagai parti komponen BN sudah hilang kepercayaan kepada Abdullah.
Mungkinkah perkara yang sama akan berlaku di dalam UPKO?
Adakah UPKO akan menjejaki SAPP dengan presiden dan pemimpin bawahannya membuat ketetapan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan?
Kalau dihitung sejarah politik Sabah, tidak ada yang mustahil boleh berlaku di Kota Kinabalu.
Lupakah kita pada nama-nama besar seperti Tun Mustapha, Harris Salleh dan Syed Kecik dalam politik Sabah? Kemanakah parti politik mereka hari ini? Parti Berjaya berkubur. Usno dikapankan. Tanyalah Pairin Kitingan betapa pedihnya bila partinya PBS hilang kuasa.
Umno bukan dilahirkan di Sabah. Umno disogokkan kepada orang Sabah untuk menerimanya. Kalau parti kelahiran Sabah seperti Berjaya dan Usno boleh hilang dari bumi Sabah, apalah ada pada Umno.
Dan pelikkah parti seperti SAPP dan UPKO mencampakkan BN? Sejarah pasti berulang. Hanya mereka yang buta sejarah yang selalunya menerima padah.
Kalau UPKO menuruti jejak SAPP dalam hari-hari terdekat ini, apa nak dihairankan. Cuma yang merana ialah Umno dan BN kerana hari demi hari, nyawa politik tampak semakin sukar.
No comments:
Post a Comment