Friday, June 27, 2008

NAJIB, PRESIDEN UMNO?

"Kita akan buat ketetapan bila tiba masanya nanti....ada masa lagi."
Itu lah ungkapan dari Timbalan Presiden Umno, Najib Razak, ketika ditanya wartawan samada beliau akan bertanding jawatan presiden sekiranya dicalonkan.
Menurut Agendadaily, jawapan beliau itu dibuat pada sidang media selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional Khamis malam. Duduk sebelah beliau ialah presiden Umno Abdullah Ahmad Badawi. (http://www.agendadaily.com/cms/index.jsp)
Jelapang tidak akan membuat ramalan samada Najib akan menentang Abdullah untuk jawatan tertinggi parti itu tetapi suasana di peringkat akar umbi agak "beralun".
Pertemuan Abdullah dengan ketua-ketua cawangan dari Johor dilaporkan "panas". Di Pulau Pinang dikatakan hanya tiga bahagian akan mencalonkan untuk mengekalkan Abdullah, 9 bahagian di Kedah tidak akan mencalonkan Abdullah manakala di Pahang, majoriti mahukan Najib sebagai presiden.
Suasana juga tidak menentu di Perak, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah. Persoalannya, negeri manakah yang akan menjadi kubu kuat Abdullah?
Jelapang masih ingat bagaimana "ombak" melanda Umno apabila Anwar Ibrahim menentang Allahyarham Tun Ghafar Baba. Ada di kalangan pemimpin Umno "memusing belakang membiarkan ombak berlalu" demi kepentingan diri sendiri.
Malah Tun Ghafar pun tertipu akan muslihat Anwar. Anwar memberi gambaran bahawa beliau bukan "seorang anak yang derhaka" dan tidak mungkin akan menentang Tun Ghafar yang dianggapnya seorang bapa.
Tun Ghafar alpa. Apabila Anwar memalu gendang perang sudah terlambat untuk Pak Ghafar menyusun gembala tenteranya untuk turun ke medan.
Setiausaha Agung menyebelahi Anwar. Menteri Besar, Ketua-ketua pengarang, semuanya berdiri dibelakang Anwar dan akhirnya, Pak Ghafar tumpas.
Suasana ketika itu berbeza dengan hari ini. Hari ini Umno berada pada tahap yang lemah. Umno bukan lagi Umno dahulu di mana pemimpinnya boleh menepuk dada melaungkan "kami lah yang membawa kemerdekaan negara ini" dan "lihatlah track record kami".
Datanglah ke Kedah untuk melihat sendiri betapa uzurnya Umno. Majlis Umno tidak lagi dihadiri rakyat. Bekas-bekas ahli parlimen dan wakil rakyat Umno ke hulu ke hilir, berkejar ke sana ke mari merayu untuk diberi "rezeki".
Rata-rata mahukan perubahan. Kehendak ini pasti akan memberi tekanan kepada pucuk pimpinan Umno.
Kenyataan Najib kelmarin pasti mengundang spekulasi. Abdullah sendiri mungkin kurang senang hati dengan kenyataan itu.
Sukarkah untuk Najib menyatakan kesediaan untuk tidak bertanding jawatan Presiden? Persoalan ini mungkin akan bermain di fikiran kuncu-kuncu Abdullah.
Apa yang nyata ialah ianya akan lebih sukar untuk Najib menolak pencalonan sekiranya ianya kemahuan ahli-ahli parti.
Persoalan kedua ialah bila kah masa yang sesuai untuk Najib membuat ketetapannya?
Selepas mesyuarat bahagian selesai. Itulah pilihan terbaik. Umno harus menuruti kehendak ahli di bahagian jika ianya mahu terus relevan. Sekiranya ahli Umno mahukan Abdullah di kekalkan, maka hormatilah keputusan itu. Jika sebaliknya, keputusan itu juga perlu di hormati.

No comments:

Post a Comment