Thursday, January 26, 2017
TABIK ARTIS KITA YANG BERJUANG UNTUK MENYELAMATKAN NEGARA
JELAPANG kena TABIK pada artis terkemuka tanahair.
Rupa-rupanya mereka lebih bermaruah dan berani bangkit untuk menyelamatkan negara. Rasa malu dibuatnya.
Malam tadi semasa minum-minum dengan beberapa AJK bahagian, masing-masing memuji kesungguhan artis-artis negara seperti Siti Nurhaliza dan Che Ta.
Jelapang pun macam kawan-kawan AJK juga. Marah betul pada Najib Razak. Apa tidaknya? Bukan setakat duit 1MDB hilang, duit SRC pun masuk akaun beliau.
Tak cukup setakat itu. Tanah milik kita dijualnya. Tabung Haji dan Felda lingkup dibuatnya.
Harga ikan naik, kos sara anak naik. Najib tak peduli langsung tiba-tiba bercakap mengenai TN50 bukan mengenai kos sara hidup, mengenai duit yang masuk akaun beliau.
Kita puji para artis yang berjiwa jitu ini.
Seperti yang saya katakan tadi, kita pun sama marah macam artis-artis kita.
Malahan kemarahan yang meluap-luap dan membara.
Tetapi kita kena akui lah, bahawa kita tak seberani artis Malaysia. Kita hanya berani di kedai kopi.
Tak berani nak tunjuk kemarahan, maklumlah bila tunjuk, anak bini jadi mangsa.
Kalau lebih-lebih, biasiswa anak kita ditarik. Kalau lebih-lebih anak kita disuruh berhenti kerja.
AJK bahagian lagi takut. Takut tak ada langsung bantuan BR1M dari Ketua Bahagian. Yang atas-atas pula takut difitnah dengan skandal seks.
Apabila melihat kesungguhan artis Malaysia semasa berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad, Jelapang teringat zaman dulu-dulu.
Orang yang terdahulu dari kita sanggup bergadai golok dan gelang untuk bangun menyelamatkan Tanah Melayu.
Hari ini, artis kita mengambil tindakan sama - berjuang untuk menyelamatkan negara.
Mereka sanggup meletakkan periuk nasi mereka dalam risiko . Selamat Malaysia dari kerakusan pemimpin menjadi matlamat perjuangan mereka sekarang ini.
Semuga artis-artis tidak dianiaya.
Maklumlah, memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah pihak.
Wednesday, January 25, 2017
KERAJAAN TUTUP PEJABAT? KATA EKONOMI KUKUH
KEBIASAANnya kita mendengar syarikat persendirian tutup kedai, buang kakitangan kerana tekanan ekonomi dan kewangan.
Tetapi apabila sebuah KERAJAAN menutup pejabat di seluruh negara untuk menjimatkan HANYA RM6 JUTA setahun, itu pelik namanya.
Bagi sesebuah kerajaan apalah RM6 juta setahun, BUKAN RM2.6 bilion.
Sesebuah syarikat menutup pejabat kerana masalah kewangan.
Oleh itu jika kita samakan sebuah syarikat dengan sebuah kerajaan, tidak salah jika kita katakan Kerajaan sekarang ini juga menghadapi masalah kewangan.
Kita faham jika sebuah syarikat tidak mampu menanggung kos RM6 juta tetapi bagi sebuah kerajaan yang mengutip GST hampir RM40 bilion dan akan membelanjakan RM260 bilion tahun ini, RM6 juta hanya 0.02 peratus dari perbelanjaan kerajaan.
Apakah Malaysia sedang mengalami masalah kewangan?
Memandangkan Najib Razak mempunyai dasar minta idea rakyat, Jelapang sedang memikirkan pejabat kerajaan mana lagi perlu ditutup. Imigresen, pejabat buat kad pengenalan?
Lebih menyedihkan nasib kakitangan rendah di pejabat-pejabat pelancongan ini.
Kehidupan mereka tidak sama seperti Nazri Aziz, bos mereka di Kementerian Pelancongan.
Nazri lainlah. Isteri pun macam tak pernah tinggal di Malaysia sahaja. Kejap Switzerland, kejap Paris, kejap Rome.
Tak dapat Ana bayangkan kakitangan pelancongan bergaji rendah berpindah randah ke Kuala Lumpur.
Itulah bezanya kualiti kehidupan pemimpin Melayu yang kita undi dan pilih berbanding rakyat marhaen.
LAPORAN SEMALAM
Semua pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara ditutup berkuat kuasa serta merta bagi mengelak pertindihan kerja dengan agensi-agensi negeri dalam mempromosi pusat pelancongan di negara ini.
Semasa mengumumkan perkara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penutupan kesemua 14 pejabat pelancongan itu tidak melibatkan pemberhentian kakitangan sebaliknya mereka akan diserap ke ibu pejabat kementerian dan jabatan lain.
Beliau berkata langkah itu dijangka mampu menjimatkan kos kira-kira RM6 juta setahun, yang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.
"Setiap negeri mempunyai exco pelancongan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) masing-masing, jadi kita tidak mahu tugas agensi itu dengan pihak berkuasa pelancongan negeri bertindih,"kataya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun Pertama Freeport A'Famosa Outlet di Alor Gajah, Melaka, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Pengarah Urusan Kumpulan A'Famosa Datuk Alex Lau.
Mohamed Nazri berkata walaupun semua pejabat Tourism Malaysia negeri ditutup, kementerian akan menyediakan lima pejabat informasi di beberapa negeri.
Pejabat berkenaan akan disediakan di Pulau Pinang bagi kawasan utara, Terengganu bagi kawasan timur, Johor bagi kawasan selatan serta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bagi Sarawak.
Pada 14 Jan lepas, kementerian mengumumkan bahawa empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara iaitu New York di Amerika Syarikat, Perth di Australia, Stockholm di Sweden dan Johannesburg di Afrika Selatan ditutup serta merta tahun ini.
Ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) ke kawasan berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan menyasarkan seramai 30.5 juta pelancong mengunjungi Malaysia tahun ini berbanding 27 juta pelancong pada tahun lepas.
"Tahun lepas, kita lihat ada cabaran ekonomi namun, tahun ini saya yakin sasaran ini mampu dicapai," katanya.
Beliau juga berkata Malaysia berpotensi meraih pendapatan sebanyak RM105 bilion tahun ini hasil perbelanjaan para pelancong.
- Bernama
Monday, January 23, 2017
RAKYAT MINTA NAJIB TANGKAP JHO LOW. ADA NAJIB DENGAR? BILA MASA NAJIB DENGAR PANDANGAN RAKYAT?
KATAnya termalu dengan "persembahan" kurang memberangsangkan semasa majlis TN50, penyokong Najib Razak menjadikan Tun Mahathir Mohamad sasaran kononnya selama 22 tahun menjadi PM, Dr Mahathir tidak pernah minta cadangan rakyat.
1. Sedikit pandangan mengenai "persembahan" Najib semasa majlis tersebut.
Apabila tiba sesi soal jawab, Najib hanya mampu berkata "bagus", "idea yang bagus", "apa idea saudara-saudara".
Kalau setakat hendak buat majlis, minta idea rakyat, baik tak payah.
Mengikut seorang pemimpin Umno, apa yang rakyat nak dengar ialah apa idea Najib menjelang 2050.
Bukan duduk atas "stage" nampak tak bersedia dan Projek TN50 hanya "hangat-hangat tahi ayam". Padahal tak ada perancangan pun, hanya satu lagi terminologi ciptaan Najib untuk mengelirukan rakyat.
2. Tak payah lah hendak mengelirukan rakyat dengan mengalih pandangan menerusi kritikan terhadap Dr Mahathir.
Kita hendak tanya Najib. Apa yang selama ini kehendak dan pandangan rakyat yang didengari oleh beliau.
Rakyat beritahu Najib, jangan lantik Isa Samad sebagai pengerusi Felda, Najib lantik Isa. Ada Najib dengar pandangan rakyat?
Rakyat beritahu Najib, Felda jangan beli saham PT Eagle High Plantations milik kawan karib beliau Peter Sondokh, Najib bersungguh mahukan juga Felda membelinya sampai sanggup hendak menjual saham Maybank. Ada Najib dengar pandangan rakyat?
Rakyat beritahu Najib, dedahkan laporan audit mengenai 1MDB, ada Najib dengar pandangan rakyat?
Rakyat beritahu Najib, TANGKAP JHO LOW. Ada Najib dengar cakap rakyat.
Nilai lah sendiri samada Najib pedulikan pandangan rakyat.
Wednesday, January 18, 2017
ISMAIL SABRI PERLU ARAH ANNUAR MUSA LETAK JAWATAN
APA jadi kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri?
Ketua Setiausaha Kementerian beliau ditangkap atas tuduhan rasuah.
Pengerusi Mara Annuar Musa didakwa salah guna kuasa oleh Raja. Mara dibawah pentadbiran Ismail Sabri.
Felcra yang dipengerusikan oleh Bung Mukhtar Radin disiasat SPRM.
Apakah Ismail Sabri tidak mahu mengikuti jejak Shahrir Samad yang kini menerajui Felda pada usia hampir 70 tahun?
Tidak kah Ismail Sabri mahu mengarahkan Annuar Musa bercuti atau diarah letak jawatan seperti mana yang dilakukan oleh Shahrir di Felda?
Atau Ismail Sabri mahu Kementerian beliau terus dikenali sebagai Kementerian yang disaluti gejala rasuah?
Thursday, January 12, 2017
ANNUAR MUSA DITUDUH GUNA UNIKL TAJA KELANTAN
SEBUT saja nama Annuar Musa, terkenang program PPRT semasa beliau menjadi Menteri dulu.
SEBUT saja nama Annuar Musa, terbayang wajah seorang KSU yang hampir terperosok ke dalam penjara kerana isu PPRT itu.
Kali ini, sebut saja nama Annuar teringat wajah Tengku Mahkota Johor - terbentang gambar kereta Porsche dan UniKL.
Hebat Annuar Musa.
Kata pandai berhujah tetapi apabila dakwaan dibuat oleh TMJ, Annuar hanya menjawab "hujah bodoh".
Bukan itu jawapan yang kita mahu dengar dari orang seperti Annuar.
Kita hendak tahu benar atau tidak dakwaan TMJ. Benar atau tidak UniKL, milik penuh Mara, diarah taja pasukan Kelantan?
Benar atau tidak Annuar ada Porsche?
Annuar bercita-cita besar mahu bertanding Naib Presiden, juga bercita-cita mahu terus menjadi Ahli Parlimen.
Tidak mungkin Annuar mahu bertanding Parlimen dan Pemilihan Umno dengan imej Porsche dan guna wang universiti?
Tajaan UniKL, kita yakin, hanya untuk kepentingan peribadi Annuar, untuk menonjolkan diri beliau menggunakan platform Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa).
Malulah kepada pegawai dan staf Mara.
Bukan main lagi menasihatkan staf Mara jangan rasuah. Tiba-tiba TMJ dedah segala perlakuan beliau di Mara.
Kalau kita jadi Annuar, kita jemput SPRM siasat diri kita bagi membersihkan diri daripada tuduhan TMJ.
Tapi jangan kita harap ini berlaku. Episod PPRT dahulu menjadi bukti.
DAKWAAN TERKINI TMJ:
TAN SRI, DARIPADA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN DENGAN KEJAYAAN FAIZ SUBRI LEBIH BAIK LUANGKAN MASA UNTUK JELASKAN MENGENAI TAJAAN PELABURAN MARA DAN UNIKL IAITU DUIT RAKYAT
Saya telah menjangka lebih awal lagi tentang kemenangan Faiz Subri pasti akan mendapat perhatian individu-individu, terutama sekali ahli-ahli politik yang ingin melonjakkan kembali reputasi mereka yang sedang merudum. Pertama, kepada Tan Sri yang sentiasa tidak berpuashati kepada saya dan seorang menteri yang kononnya turut ingin menumpang populariti dengan kejayaan Faiz Subri mengatakan saya angkuh dan sebagainya. Biar saya selesaikan mengenai Tan Sri terlebih dahulu. Ingat, jangan dikejutkan harimau yang sedang tidur. Saya tidak kacau orang, jadi jangan mengganggu saya.
Baiklah, untuk Tan Sri terlebih dahulu. Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri juga tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan Mara dan UniKL yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors.
Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan The Red Warriors yang mana Tan Sri sendiri merupakan Pengerusi Mara. Tidak cukup dengan Pelaburan Mara yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa. UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016 tetapi Tan Sri telah menggunakan kuasa untuk memaksa mereka menaja pasukan TRW pada tahun itu. Mohon Tan Sri jelaskan ke mana hala tuju pelaburan Mara dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.
Akhir sekali, pesanan saya kepada Tan Sri dan menteri berkenaan, jangan lupa beli jersi baru JDT 2017 yang akan dilancarkan pada malam ini.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Monday, January 9, 2017
PERIHAL BERAS ST15, RASUAH, KSU KKLW, KETUA BAHAGIAN PERMATANG PAUH & ISMAIL SABRI
TAHNIAH kepada Pesuruhjaya SPRM yang baru, Dato' Zulkifli Ahmad, di atas usaha keras beliau membanteras RASUAH terutama di Kementerian yang terlibat menjaga kepentingan rakyat miskin seperti Kementerian Pertanian dan Kementerian Pembangunan Luarbandar dan Wilayah.
Sejak menjawat jawatan sebagai "boss" SPRM, ramai yang mula KECUT PERUT dan GERUN kepada SPRM.
Inilah usaha MURNI yang perlu disokong oleh setiap lapisan masyarakat. Sudah lama kita dahagakan tindakan seumpama ini dari SPRM. Akhirnya ia kunjung tiba.
Terbaru, Ketua Setiausaha Kementerian Kementerian Pembangunan Luarbandar dan Wilayah (KKLW) Mohd Ariff Ab Rahman ditahan SPRM dan beberapa jutaan ringgit dan JONGKONG EMAS dirampas dari beliau.
Menariknya, KKLW ini diterajui oleh Ismail Sabri. Juga menarik, Ariff juga merupakan KSU semasa Ismail menjadi Menteri Pertanian sebelum ke KKLW.
Nampaknya di mana ada Ariff, di situ ada Ismail Sabri.
Dan Kementerian mereka tidak SUNYI dari kontroversi. Semasa di Kementerian Pertanian heboh isu BERAS ST15.
Bukan setakat heboh saja. Ada individu di dakwa di mahkamah kerana beras untuk orang miskin ini, yang dikenali sebagai BERAS ST15 (beras hancur 15 peratus kandungan).
Dua kontraktor pada Mac tahun lepas didakwa di Alor Star kerana terlibat dengan rasuah berkaitan beras ST15. http://www.bharian.com.my/node/132175
Dalam bulan yang sama, seorang pegawai Bernas juga didakwa kerana menerima rasuah berkaitan beras ST15. http://www.hmetro.com.my/node/124879
Sementara itu 2 "anak buah" Ketua Bahagian Permatang Pauh Zaidi Mohd Said ditangkap dan didakwa kerana beras ST15.
Kedua-dua mereka ialah - Bendahari Bahagian Permatang Pauh Nor Azamuddin Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Permatang Pauh Farid Idris Khan.
Umum mengetahui Zaidi adalah Ketua Pegawai Khas Ismail Sabri.
Di akar umbi, katanya juga, kuota beras ST15 ini dijaga oleh Zaidi. Seeloknya Ismail Sabri mengarahkan Zaidi membantu Dato' Zulkifli dan SPRM di dalam siasatan melibat KSU Ariff dengan memberi segala maklumat mengenai beras ST15.
Sudah pasti Ariff juga akan ditanya mengenai isu ini oleh SPRM kerana beliau juga adalah KSU Pertanian sebelum ini.
Inilah wang luarnegara, beg tangan dan sebagainya yang dirampas dari KSU Kementerian KKLW yang ditadbir oleh Ismail Sabri.
Kita akhiri dengan satu posting yang dibuat oleh penulis FB - Syed Rosli.
SEKIAN
Thursday, January 5, 2017
ANNUAR MUSA DI "LEMPANG" RAJA
"Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir bagi awak (Annuar Musa) duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda (Annuar Musa) gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera." - Tengku Mahkota Johor.
KONONnya beliau lah HERO UMNO.
Ke sana ke sini membawa gelaran Ketua Penerangan Umno. Tegur orang itu, tegur orang ini.
Berkhutbah depan ahli-ahli Umno kononnya beliau lah orang yang paling hebat dalam Umno.
Semasa perhimpunan agung Umno, ditayangnya video beliau, membodek Najib Razak, seolah-olah hanya satu orang sahaja di dalam Umno yang mempertahankan Najib. Hanya Annuar Musa seorang sahaja yang hebat.
3 hari lalu Annuar Musa di"tempeleng". Orang biasa tak boleh tegur Annuar Musa.
Hanya RAJA yang boleh menegur Annuar.
RAJA yang berasal dari tempat lahirnya Umno.
Tidakkah Umno merasa malu? Hero Umno di tegur RAJA?
Bukan orang biasa, RAJA!!!!
Sebagai ahli Umno, amat memalukan parti keramat mempunyai Ketua Penerangan yang ditegur oleh RAJA.
Tetapi tidak mengapa.
Pemimpin Umno sekarang sudah TAK TAHU MALU.
Pemimpin rasuah, orang lain jadi mangsa.
BERIKUT TEGURAN TMJ:
JANGANLAH SIBUK MENCARI KUDIS DI KAKI ORANG LAIN SEDANGKAN TOKAK DI KAKI SENDIRI TIDAK MAMPU DIUBATI
Baru-baru ini saya dimaklumkan mengenai timbul persoalan berkaitan fasiliti milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim. Kepada Tan Sri, semua stadium di negeri Johor sememangnya milik Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan tersebut pula adalah milik Siapa? Milik DYMM Sultan Johor yang telah wujud sejak tahun 1885. Itu bererti terpulanglah kepada DYMM Sultan Johor untuk bagaimana menggunakan semua milik kerajaan negeri. Jangan samakan negeri Johor dengan negeri lain. Johor sudah wujud sebelum kemerdekaan, dengan cara tersendiri, dan dengan sistem berpelembagaan tersendiri sejak 1885.
Negeri Johor juga adalah kubu kuat parti pemerintah sekarang. Tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, oleh itu jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya. Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada Rakyat. Kita sedia maklum yang Tan Sri telah membina Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dari mula-mula lagi dan Tan Sri juga harus bertanggungjawab atas kegagalan dan ketidak urus KAFA hari ini. Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar. Sedangkan KAFA pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara.
Seterusnya Tan Sri mengatakan bahawa JDT merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi. Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga. Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang. Ianya satu perkiraan yang mudah, JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa. Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis. Terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik. Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT.
Yang terakhir sekali, sebelum Tan Sri hendak memberikan komen mengenai kelab atau negeri lain, uruskanlah KAFA terlebih dahulu. Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain. Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain. Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati. Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir bagi awak duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Tuesday, January 3, 2017
SELAMAT TAHUN BARU
"Janganlah harta itu berlegar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu sahaja" - Surah Al-Hasyr ayat 7 (ditutur oleh Najib Razak semasa pembentangan Belanjawan 2017 di Parlimen)
SELAMAT TAHUN BARU
Ada yang bercuti dengan berbasikal di Perth dan ada yang menonton konsert di Las Vegas dan ada yang mengambil isteri baru yang jelita..
Itulah kemakmuran negara kita. Bagi majoriti rakyat Malaysia, mereka sekadar mampu "menonton" kemewahan pemimpin di negara yang kita cintai, sebuah negara Islam yang kita banggakan.
Ramai akan mengingati kehadiran tahun 2017 sebagai hari harga petrol dinaikkan. Ramai kecewa dan marah. Tetapi kemarahan ini hanya untuk seketika.
Orang Melayu dikenali cepat lupa dan mudah memaafkan saudara.
Para pemimpin jangan risau - orang Melayu akan memaafkan mereka dalam apa jua suasana, guna wang rakyat berjudi pun tak apa, rasuah tak apa, buat lah apa saja.
Tiba masanya, Najib tetap Perdana Menteri, Umno tetap pemerintah negeri.
Ramai orang bertanyakan mengenai azam Tahun Baru.
Azam Jelapang:
1. Pemimpin berhenti BERDUSTA
2. Pemimpin berhenti MENIPU RAKYAT
3. Pemimpin berhenti MENYAMUN wang rakyat
4. Pemimpin agama berhenti hanya menghukum rakyat dan melindungi pemimpin.
Itu saja harapan Jelapang.
Selamat Tahun Baru